Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Semua jenazah 10 anggota tentera yang maut dalam nahas dua helikopter di Lumut, Perak Selasa lalu selesai disemadikan hari ini dengan jasad terakhir adalah mendiang Leftenan T Sivasutan, pada tengah hari.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang tidak putus-putus menzahirkan rasa dukacita terhadap insiden menyayat hati itu.

"Kita ucapkan terima kasih kepada semua yang sama-sama menyampaikan rasa dukacita. Kepada Yang di-Pertuan Agong (Sultan Ibrahim), juga kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan seluruh rakyat Malaysia yang merasai dan terkesan atas nahas yang berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri di Wisma Perwira Kementerian Pertahanan (MINDEF) hari ini.

Katanya, beliau berkesempatan bersama salah seorang waris dan keluarga mangsa menyaksikan pengebumian jenazah malam tadi.

"Saya sempat berbual dengan isteri Allahyarham yang minta untuk sampaikan ucapan penghargaan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia atas ucapan takziah.

"Beliau juga menyampaikan makluman kepada rakyat Malaysia supaya hargai pengorbanan dan sumbangan anggota tentera.

"Dia kata, sebagai isteri, dia lebih tahu sumbangan dan pengorbanan dibuat arwah," katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled mengulangi komitmennya supaya segala bentuk bantuan wajar kepada waris akan diuruskan dengan sebaiknya.

"Kita akan pastikan apa saja (bantuan) yang wajar untuk keluarga mangsa dan waris akan diuruskan dengan baik. Soal pencennya, ganjaran, insurans, tabungan dalam koperasi atau LTAT (Lembaga Tabung Angkatan Tentera), semua itu sedang diuruskan dengan baik," katanya.

Kesemua mangsa tragedi helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Selasa lalu, diberi penghormatan terakhir mengikut istiadat rasmi TLDM di Kem 23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di sini, sebaik selesai proses bedah siasat semalam.

Jenazah dan jasad kesemua mangsa kemudiannya dibawa ke destinasi pengebumian di negeri masing-masing seperti dimohon waris.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 3:33 PM