GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Meor Riduwan Meor Ahmad


Jasin: Seorang lelaki warga emas yang sukar berjalan akibat kemalangan menjadi mangsa samun di rumahnya di Kampung Ayer Tawar, Merlimau, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi, mangsa berusia 61 tahun turut dibaling dengan sambal tumis oleh suspek lelaki dan dihentak dengan kerusi plastik hingga cedera.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, ketika kejadian, mangsa sedang berbaring sendirian di katil berdekatan pintu belakang rumahnya.

Menurutnya, suspek yang memakai topi keledar dan pelitup muka bertindak membaling sambal tumis ke muka mangsa.

"Suspek kemudian bertindak agresif dengan menampar mangsa sebelum menghentaknya dengan kerusi plastik bertubi-tubi.

"Mangsa cuba menahan tetapi tidak berdaya hingga cedera di kepala akibat hentakan itu serta menjerit meminta tolong, namun tiada sesiapa datang membantu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Jamil berkata, suspek kemudian mengambil beg sandang mangsa mengandungi dompet berisi wang RM400, empat kad ATM, kad pengenalan serta lesen memandu sebelum melarikan diri.

"Siasatan mendapati mangsa tidak bekerja akibat kemalangan dan mengalami kesukaran berjalan," katanya.

Beliau berkata, suspek dipercayai berusia 30-an serta berbadan gempal dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana kesalahan samun tanpa senjata.

Terdahulu, tular rakaman suara di media sosial berdurasi 24 saat meminta penduduk di kampung itu berhati-hati berhubung kejadian samun terhadap lelaki warga emas terbabit.

Rakaman suara itu mendakwa suspek menyamar sebagai pekerja penghantaran sebelum menyamun mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 1:44 PM