LAPORAN terdahulu Harian Metro
LAPORAN terdahulu Harian Metro
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kajang: Polis memburu tiga lelaki yang membakar anak kucing di parkir motosikal Flat Seri Kenari, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian dari seorang wanita pada 10.51 pagi.

"Pengadu berusia 63 tahun membuat laporan memaklumkan anak kucing dibakar hidup-hidup di tapak parking motosikal berkenaan.

"Wanita berkenaan cuba mencari anak kucing berkenaan di sekitar flat dan menjumpainya dalam keadaan lemah dan segera menghantarnya ke Klinik Veterinar Swasta di Ampang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kejadian berlaku pada jam lebih kurang 1 tengah hari.

"Suspek tiga lelaki dipercayai sedang melepak di tapak parkir berkenaan. Dua daripada suspek kemudian menyimbah dipercayai bahan bakar ke atas anak kucing dan salah seorang menyalakan api.

"Ketiga-tiga mereka hanya menyaksikan anak kucing berkenaan berlari dalam keadaan badan terbakar," katanya.

Mohd Zaid berkata, anak kucing kini ditempatkan di sebuah Klinik Veterinar Swasta di Ampang dan mendapati kecederaan dialami ialah 2nd degree burn (melecur tahap kedua).

"Anak kucing dianggarkan berusia enam minggu dengan berat 300 gram. Keadaan anak kucing agak kritikal dan perlu diletakkan di bawah pemerhatian rapi sekurang-kurangnya 1 minggu.

"Bahagian Siasatan Jenayah IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Kajang sudah pun mengenal pasti suspek dan kini sedang giat mengesan mereka untuk membantu siasatan," katanya.

Katanya, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan dan sekiranya disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh sehingga tiga tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 9:58 PM