Sequerah
Sequerah
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mengingatkan semua pihak dalam perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), bahawa mahkamah yang akan menentukan jika pendakwaan membuktikan kesnya.

Sequerah berkata, penentuan sama ada kes berjaya dibuktikan (oleh pendakwaan) sudah dinyatakan berulang kali dan beliau sepatutnya membuat keputusan sama ada unsur (dalam pertuduhan dibuktikan atau tidak).

Perkara itu timbul ketika peguam Wan Azwan Aiman menyoal balas saksi pendakwaan ke-49, Penguasa Kanan SPRM Nur Aida Arifin berhubung setiap elemen dalam pertuduhan pertama salah guna kuasa yang dihadapi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Peguam itu berkata, pembelaan sedang cuba untuk memastikan sama ada pegawai SPRM benar-benar memang menjalankan siasatan terhadap empat elemen dalam pertuduhan berkenaan.

Pertuduhan salah guna kuasa pertama membabitkan tindakan Najib yang dikatakan dari April 2009 hingga Mei 2011 yang menyebabkan beliau mendapat suapan lebih RM60 juta.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib kemudiannya membantah soalan itu dengan menyatakan bahawa bahagian tertentu pertuduhan selaras Seksyen 23(2) Akta SPRM di mana terdapat anggapan bahawa Najib menyalahgunakan kuasanya.

Peguam bela utama, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pula menyifatkan pertuduhan yang dikenakan ke atas Najib adalah salah dan 'bertindih', dan menegaskan ia akan dicabar pembelaan dalam hujahan di akhir kes pendakwaan kelak.

"Saya tidak mahu kami dituduh tidak membangkitkan perkara ini. Isu membabitkan semua pertuduhan akan menjadi sebahagian besar daripada penghujahan kami, bahawa ia salah dan terdapat pertindihan," katanya.

Sequerah kemudiannya memerintahkan semua pihak menghujahkan perkara berkenaan dalam hujahan masing-masing dan menegaskan ia terpulang kepada mahkamah untuk menentukan sama ada pendakwaan membuktikan unsur dalam pertuduhan, dan bukannya pegawai penyiasat.

Sementara itu, Nur Aida ketika disoal Wan Azwan berkata, beliau tidak menjalankan siasatan ke atas bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat pelaburan strategik negara itu, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 2016 antara lain mengesyorkan pihak berkuasa supaya menyiasat Shahrol Azral dan pihak pengurusan syarikat milik kerajaan itu.

Laporan itu berpendapat bahawa Shahrol Azral dan pihak dalam pengurusan 1MDB harus bertanggungjawab terhadap kelemahan dalam urus tadbir syarikat berkenaan.

Secara ringkasnya, PAC mendapati kekangan dan kelemahan tertentu dalam pengurusan dan Lembaga Pengarah 1MDB.

Shahrol Azral selaku saksi kesembilan dalam keterangan pada Mac lalu berkata, Najib mempunyai kuasa mutlak untuk membuat semua keputusan membabitkan arahan, perniagaan, pentadbiran dan operasi syarikat pelaburan strategik negara, SRC International Sdn Bhd.

SRC adalah subsidiari 1MDB, yang pada mulanya dikenali sebagai Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) mengambil alih TIA dan dinamakan sebagai 1MDB.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan kes bersambung esok.

Ends…

From: Joe

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 5:28 PM