Sebahagian kenalan mangsa nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak pagi tadi berada di perkarangan Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. FOTO MOHD ADAM ARININ
Sebahagian kenalan mangsa nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak pagi tadi berada di perkarangan Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. FOTO MOHD ADAM ARININ
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Berita nahas helikopter di Lumut, Perak pagi ini membabitkan empat anggota Skuadron 503 yang berpangkalan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Teluk Sepanggar di sini disambut dengan tangisan oleh rakan setugas.

Pegawai Perhubungan Awam TLDM Teluk Sepanggar, Leftenan Komander Mohd Fadzhil Salleh berkata, semua rakan anggota yang terkorban itu terkejut dan amat sedih menerima berita nahas itu.

Katanya, kehilangan anggota skuadron yang diketuai Pegawai Memerintah Skuadron 503, Komander Muhammad Firdaus Ramli yang turut bertindak sebagai juruterbang salah sebuah daripada helikopter pasukan itu amat dirasai.

"Kami amat terkejut dan sedih dengan berita nahas itu. Arwah sangat baik, seorang yang ceria, suka tolong orang. Memang kehilangan arwah sangat dirasai," katanya yang sangat rapat dengan Muhammad Firdaus.

Katanya, baru-baru ini beliau membawa petugas media melakukan tinjauan udara dengan helikopter.

"Masa itu, helikopter dikendalikan oleh Komander Muhammad Firdaus, helikopter itulah yang terbabit insiden pagi tadi di Lumut," katanya.

Difahamkan, ahli keluarga pegawai dan anggota Skuadron 503 yang berpangkalan di TLDM Teluk Sepanggar, dibawa ke Kuala Lumpur, petang ini.

Ahli keluarga dibawa menaiki pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerusi Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) jam 1.20 tengah hari tadi.

Sementara itu, Wartawan TV3 Sabah, Safwan Sawi, berkata dia turut terkejut dan sedih mendengar berita nahas itu apatah lagi mengetahui juruterbangnya, Komander Muhammad Firdaus antara yang terkorban dalam tragedi itu.

"Beberapa minggu lalu kru TV3 diberi peluang menaiki pesawat berkenaan untuk liputan penugasan anggota TLDM dari skuadron terbabit.

"Ia amat menyedihkan dan saya turut bersimpati terhadap keluarga anggota yang maut serta seluruh warga TLDM, lebih-lebih lagi dari Skuadron 503," katanya ketika dihubungi.

TLDM hari ini mengesahkan 10 anggotanya meninggal dunia dalam kejadian pada 9.32 pagi tadi yang melibatkan tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga lagi kru Fennec TLDM.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 3:02 PM