PELANCONG mencuba memasak roti jala pada Program Visit My Kampung Homestay Sungai Duri @ Lembaga Kemajuan Wilayah Pula Pinang (PERDA) di Dewan Gerakan Masyarakat Kampung Sungai Duri. FOTO DANIAL SAAD
PELANCONG mencuba memasak roti jala pada Program Visit My Kampung Homestay Sungai Duri @ Lembaga Kemajuan Wilayah Pula Pinang (PERDA) di Dewan Gerakan Masyarakat Kampung Sungai Duri. FOTO DANIAL SAAD
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) mengetengahkan suasana dan budaya masyarakat desa dengan melaksanakan program 'Visit My Kampung' dalam usaha merancakkan ekonomi penduduk kampung melalui pelancongan inap desa.

Setakat ini, terdapat sekurang-kurangnya 10 kampung di negeri itu mengikuti program berkenaan yang mula dilaksanakan sejak 2022.

Pengerusinya, Datuk Ir Dr Shaik Hussein Mydin, berkata PERDA sebagai agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di bawah inisiatif My Desa My Destination (MDMD) menyedari bahawa sektor pelancongan domestik termasuk di Pulau Pinang selepas pandemik Covid-19 amat menggalakkan dan ia perlu dimanfaatkan sebaiknya.

"Atas dasar ini, kita (PERDA) mengelolakan program 'Visit My Kampung' kerana mahu mengambil peluang menghidupkan suasana, budaya dan makanan luar bandar sekali gus membantu merancakkan ekonomi penduduk kampung.

"Pada masa sama, kita mahu mendedahkan kepada pelancong bahawa Pulau Pinang bukan sekadar bandar yang terletak di bahagian Pulau semata-mata tetapi terdapat juga kampung-kampung yang menarik untuk diterokai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Visit My Kampung di Dewan Gerakan Masyarakat Kampung Sungai Duri, di sini, baru-baru ini.

PENGERUSI Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Datuk Ir Dr Shaik Hussein Mydin (depan tiga dari kiri) bergambar bersama pelancong dan penduduk pada Program Visit My Kampung Homestay Sungai Duri @ PERDA di Dewan Gerakan Masyarakat Kampung Sungai Duri. Turut sama Mohd Asri  (empat dari kiri) dan Dr Annuar  (kiri).
PENGERUSI Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Datuk Ir Dr Shaik Hussein Mydin (depan tiga dari kiri) bergambar bersama pelancong dan penduduk pada Program Visit My Kampung Homestay Sungai Duri @ PERDA di Dewan Gerakan Masyarakat Kampung Sungai Duri. Turut sama Mohd Asri (empat dari kiri) dan Dr Annuar (kiri).

Jelasnya, program itu amat bermakna kerana bukan sahaja mendapat sokongan daripada KKDW, malah disenaraikan dalam jadual aktiviti pelancongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

"Kita berterima kasih kepada pihak MOTAC yang turut bekerjasama memastikan program ini membuahkan hasil selain membantu pihak kita dalam aktiviti promosi.

"Ini apabila dengan adanya dalam kalendar MOTAC ia akan membantu meningkatkan jumlah pelancong tempatan mahupun luar negara kerana semua telah menyedari akan program kita laksanakan yang bakal menjadi acara tahunan," katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Besar PERDA Mohd Asri Baharum, berkata program ini mendapat reaksi sangat positif bukan sahaja dalam kalangan pelancong tetapi juga penduduk kampung apabila mereka boleh bangkit kembali selepas terjejas susulan pandemik Covid-19.

"Apatah lagi, dalam program sama yang kita anjurkan di Sungai Setar, dekat sini pada bulan lalu menerima tempahan untuk mengadakan aktiviti antaranya 'Program Anak Angkat Pelajar Universiti seluruh Malaysia' pada bulan ini dan 'Temasya Bendang anjuran Persatuan Homestay Malaysia' pada Ogos depan.

PELANCONG mencuba mencanting batik pada Program Visit My Kampung Homestay Sungai Duri @ Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA).
PELANCONG mencuba mencanting batik pada Program Visit My Kampung Homestay Sungai Duri @ Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA).

"Oleh itu, kita berharap manfaat sama akan diperoleh penduduk Kampung Sungai Duri yang juga mempunyai keunikan tersendiri kerana dalam pelancongan homestay ini ada tempat bagi kita merasakan kurang menarik tetapi ia menarik bagi pelancong," katanya.

Sementara itu, Pengarah MOTAC negeri, Dr Annuar Mohamed, berkata program My Visit Kampung disenaraikan dalam kalender aktiviti agensi itu berikutan mahu turut serta mempromosikan pelancongan inap desa.

"Kita ada peruntukan di bawah program pembangunan industri dan salah satunya homestay yang kita mahu promosikannya.

"Pengusaha homestay yang mengikuti program Visit My Kampung telah berdaftar dengan Motac selepas menghadiri kursus dan mengikut garis panduan yang ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 7:01 AM