Redzuan Muharam


Rawang: Sungguh meruntun jiwa apabila Mohamad Firdaus Zainal Abidin hanya dapat merakam gambar keluarga pada Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini dengan persalinan arwah isterinya, Aya Nur Asyura Zakaria.

Kesedihan sama turut dirasai warganet selepas Mohamad Firdaus, 44, berkongsi, gambar berkenaan menerusi video dimuat naik di TikTok.

Menerusi video itu, Mohamad Firdaus yang menetap di Bukit Sentosa, di sini memuat naik potret raya 2023 dan tahun ini bagi menggambarkan perbezaan sebelum serta selepas pemergian isterinya itu.

Mohamad Firdaus berkata, idea mengambil gambar raya sebegitu tercetus secara spontan selepas anaknya mengajak untuk bergambar sebagai kenangan pada pagi satu Syawal lalu.

"Selepas solat raya, anak anak ajak bergambar, jadi waktu itu terfikir macam mana kerana berasa kekurangan memandangkan mama mereka (isteri) sudah tiada.

"Jadi saya cadangkan dan minta tolong anak ambil baju isteri supaya anak berasa mama mereka masih ada. Tak rancang pun dan pakaian di sebelah saya dalam gambar itu adalah baju raya isteri yang dipakainya tahun lalu.

"Saya kongsikan video di TikTok dan tak sangka dapat tontonan tinggi. Sebenarnya ada juga bekas pelajar dan rakan isteri tak tahu dia sudah meninggal dunia sehinggalah mereka menonton video itu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mohamad Firdaus berkata, isterinya sebelum ini bertugas sebagai guru kaunseling di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sentosa 2, di sini dan meninggal dunia pada 29 Jun tahun lalu akibat barah pankreas tahap empat lanjutan.

Katanya, penyakit itu dikesan pada 31 Mac tahun lalu dan terlalu cepat menyerang namun tidak menyebabkan isterinya sampai terlantar.

"Isteri boleh berjalan sebelum meninggal dunia cuma pada hari terakhir hayatnya, dia sangat lemah dan sesak nafas selepas dimandikan.

"Akhirnya, arwah isteri meninggal dunia di rumah dan hembuskan nafas terakhir di pangkuan saya.

"Waktu di hospital, arwah isteri minta saya kuat dan jangan tunjuk lemah depan anak selain beritahu sudah reda jika sudah sampai masanya untuk pergi.

"Arwah pun ada pesan kepada anak waktu dia di wad iaitu seminggu sebelum meninggal dunia untuk terima takdir Allah SWT seakan dan pesan kepada saya untuk jaga mereka seakan tahu nak pergi meninggalkan kami buat selamanya," katanya.

Lantaran tahun ini kali pertama menyambut raya tanpa isteri, Mohamad Firdaus hanya meraikan Aidilfitri dengan anaknya secara sederhana saja.

Mohamad Firdaus berkata, sebelum ini isterinya yang akan mencari baju, memilih warna sedondon serta membuat persiapan akhir menyambut hari raya.

"Tapi tahun ini, saya kena pandai-pandai sendiri dan beli baju raya pun secara dalam talian saja. Anak pun nampak sedih tapi syukurlah keluarga saya dan mentua banyak beri semangat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2024 @ 12:06 PM