GAMBAR hiasan. FOTO Agensi
GAMBAR hiasan. FOTO Agensi
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Premis cawangan jenama kopi antarabangsa, Starbucks di Jalan T2, di sini, diconteng dengan cat sembur, pagi tadi.

Perbuatan vandalisme itu disedari kira-kira 8.30 pagi oleh penyelia tapak bangunan sebelum pengurusan syarikat jenama kopi itu membuat laporan polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira 12.30 tengah hari.

"Semakan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati dua individu disyaki melakukan perbuatan itu dengan menggunakan cat sembur namun imejnya kurang jelas.

"Bagaimanapun pihak pengurusan Bangunan T2 dan Starbucks bertindak segera memadam contengan berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai atau mana-mana individu supaya tidak mencetuskan provokasi termasuk membuat contengan di dinding premis.

"Polis giat mengesan suspek yang terbabit dalam kes ini dan sekiranya dikenali pasti, tindakan undang undang akan diambil," katanya.

Terdahulu, gambar premis berkenaan yang diconteng dikesan mula tular di media sosial hari ini, selain mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 6:08 PM