PAPAGOMO.
PAPAGOMO.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Blogger Papagomo mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi menggugurkan pertuduhan menghasut dengan mengaitkan kerajaan sekarang pro kepada Israel dan negara barat.

Perkara itu dimaklumkan peguam Logen Eskander Abdullah yang mewakili bekas Exco Pemuda Umno itu atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, 41, ketika ditemui selepas prosiding sebutan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Siti Aminah Ghazali.

"Representasi itu antaranya adalah untuk menggugurkan pertuduhan," kata peguam itu.

Bagaimanapun maklumat terperinci mengenai isi kandungan representasi itu tidak boleh didedahkan.

Terdahulu dalam prosiding hari ini, peguam itu memaklumkan bahawa representasi itu diserahkan kepada AGC pada 5 April lalu.

Katanya, salinan representasi itu diberikan kepada pihak pendakwaan pagi ini.

Mendengar perkara itu, Timbalan Pendakwa Raya Deepa Nair Thevaharan berkata setakat ini, tiada keputusan berhubung representasi itu kerana pihaknya baru menerima salinannya pagi tadi.

Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, Siti Aminah menetapkan 23 Mei bagi mengetahui status representasi itu.

Pada 8 Januari lalu, tertuduh didakwa dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu menyebut kata-kata menghasut (mengaitkan kerajaan sekarang pro kepada Israel dan negara barat) dalam laman sosial Facebook milik seorang individu jam 1 tengahari pada 8 November 2023.

Kata-kata menghasut itu kemudian dilihat oleh seorang lagi individu di sebuah unit kondominium di Jalan Tong Shin Bukit Bintang di sini.

Berikutan itu kesalahan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Papagomo kemudian diberikan ikat jamin sebanyak jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 12:35 PM