PEJABAT 1Malaysia Development Berhad (1MDB). FOTO Arkib NSTP
PEJABAT 1Malaysia Development Berhad (1MDB). FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi memindahkan kes saman AS$6.59 bilion yang difailkan terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif Arul Kanda Kandasamy dan bekas Pengerusinya, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, untuk didengar di hadapan hakim lain.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan, yang membuat keputusan itu dalam kamar, turut mengarahkan 1MDB membayar kos RM4,000 masing-masing kepada Arul Kanda dan Mohd Irwan.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, peguam Lavinia Kumaraendran yang mewakili Mohd Irwan berkata memandangkan permohonan itu sudah ditolak maka perbicaraan kes berkenaan akan diteruskan pada September seperti ditetapkan sebelum ini.

Tahun lalu, 1MDB telah memfailkan permohonan untuk kedua-dua saman didengar di hadapan hakim yang sama atas alasan merit dan faktanya adalah serupa.

Pada Mei 2021, 1MDB telah memfailkan saman terhadap kedua-dua defendan atas dakwaan mereka melakukan pecah amanah dan konspirasi sehingga menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian berjumlah US$1.83 bilion berhubung pelaburannya dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd, yang kemudian ditukar kepada Brazen Sky Limited investment, dan dikatakan boleh didapati dalam Dana Bridge Global.

1MDB juga mendakwa Arul Kanda dan Mohd Irwan melakukan pecah amanah serta konspirasi dengan menyeleweng dana syarikat itu berjumlah US$3.5 bilion, yang dibayar kepada Aabar Investments dan US$1.265 bilion yang dibayar kepada International Petroleum Investment Company (IPIC), pada 9 Mei 2017.

1MDB mendakwa Mohd Irwan turut bersekongkol dengan Arul Kanda untuk menyebabkan syarikat itu melaksanakan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan dan membayar jumlah yang besar iaitu RM2,905,200 kepada Arul Kanda mengikut perjanjian tersebut tanpa mengira kepentingan 1MDB sehingga menyebabkan ia mengalami kerugian serta kerosakan.

Justeru, 1MDB antara lain menuntut kedua-dua defendan agar membayar US$6.59 bilion bagi pelanggaran itu dan tambahan RM2.9 juta daripada Mohd Irwan berhubung Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan.

Pada 2022, syarikat itu turut memfailkan saman US$8 bilion terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan tujuh lagi.

Kes itu didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Atan Mustaffa Yussof Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 6:35 PM