Armizan (lima dari kanan) bersama pasukan penghantaran bekalan air yang bertugas membekal air kepada penduduk daerah Papar pada Aidilfitri. FOTO  ihsan Facebook Armizan Mohd Ali
Armizan (lima dari kanan) bersama pasukan penghantaran bekalan air yang bertugas membekal air kepada penduduk daerah Papar pada Aidilfitri. FOTO ihsan Facebook Armizan Mohd Ali
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Penghantaran bekalan air kepada pengguna di daerah Papar diteruskan pada Aidilfitri bermula 1 Syawal meskipun dua Loji Rawatan Air (LRA) yang ditutup akibat kemarau beroperasi semula pada akhir Ramadan lalu.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata operasi penghantaran bekalan air menggunakan lori tangki diteruskan 'Team Raya Angkat Air 1 Syawal' di bawah Pejabat Parlimen Papar memandangkan masih ada sebahagian penduduk di daerah itu tidak mendapat bekalan air melalui sistem paip.

Katanya, pengoperasian semula LRA Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) Limbahau yang dikendalikan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan LRA Jetama kendalian Jetama Sdn Bhd bersama LRA Kogopon belum dapat memenuhi keperluan seluruh warga Papar.

"Masih ada sebahagian warga Papar yang berhadapan isu bekalan air paip musim raya ini, apatah lagi kawasan perumahan bertingkat.

"Ternyata kapasiti kumulatif 63 juta liter sehari (MLD) bagi tiga LRA sedia ada tidak dapat menampung keperluan yang meningkat tinggi. Ini kesan kesenjangan di antara unjuran keperluan, perancangan dan pelaksanaan sejak sekian lama," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Sementara itu, Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, berkata isu bekalan air yang masih berlaku di Papar hanya dijangka selesai apabila Projek Naik Taraf LRA Kogopon daripada 40 MLD kepada 80 MLD siap pada Ogos 2026.

Katanya, dengan siapnya fasiliti rawatan air baharu yang mula dibina pada Ogos tahun lalu itu, ia akan meningkatkan kapasiti bekalan air untuk daerah Papar kepada 103 MLD.

Berikutan itu, Armizan meminta maaf kepada penduduk daerah Papar kerana masih berdepan gangguan bekalan air untuk tempoh kira-kira tiga tahun lagi iaitu sehingga projek menaik taraf LRA Kogopon siap.

"Tiga tahun lagi derita, saya mohon ribuan kemaafan, itulah tempoh pelaksanaan projek yang berskala besar ini. Saya sudah usahakan bersungguh-sungguh supaya projek ini boleh dilaksanakan sebaik saya diamanahkan sebagai Ahli Parlimen Papar pada November 2022 dengan 'memanjat' pelbagai pejabat kerajaan persekutuan serta kerajaan negeri.

"Syukur, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sendiri turun majlis pecah tanah tanda permulaan kerja-kerja projek pada Ogos 2023 lalu.

"Komitmen sepenuh kudrat juga sedang saya curahkan untuk memantau dan memastikan projek ini boleh disiapkan awal dari jadual, sekali gus tidak terlewat kerana sudah lama derita dihadapi sebahagian PAPARian (penduduk daerah Papar)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2024 @ 2:41 PM