GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mula melaksanakan catuan bekalan elektrik di beberapa daerah di Sabah berikutan peningkatan permintaan tenaga akibat cuaca panas ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SESB Ir Mohd Yaakob Jaafar berkata, tindakan itu terpaksa dilakukan bagi menangani kemungkinan ketidakcukupan tenaga disebabkan rizab tenaga yang rendah.

Katanya, kemungkinan itu boleh berlaku jika ada loji penjanaan tenaga mengalami masalah luar jangka yang menyebabkan bekalan tenaga ke rangkaian Grid Sabah terjejas.

"Keadaan cuaca panas yang melanda ketika ini secara tidak langsung meningkatkan permintaan terhadap tenaga elektrik.

"Secara puratanya, permintaan tenaga elektrik pada masa puncak bagi Sabah adalah sekitar 970 Megawatt (MW), namun pada 26 April lalu, Sabah mencatatkan permintaan tenaga elektrik paling tinggi bagi tahun ini iaitu sebanyak 1,029 MW," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, walaupun janaan tenaga di Sabah pada masa ini masih mampu menampung kadar permintaan berkenaan, gangguan bekalan boleh berlaku jika ada loji jana kuasa bermasalah.

Beliau memberi contoh, baru-baru ini beberapa loji jana kuasa mengalami masalah luar jangka menyebabkan ia tidak dapat menjana tenaga elektrik untuk memenuhi permintaan Grid Sabah.

"Antaranya pada 12 April lalu, sebuah stesen jana kuasa bebas (IPP) berkapasiti 100 MW mengalami kerosakan luar jangka menyebabkan SESB melakukan catuan bekalan, namun dapat beroperasi semula pada 13 April setelah punca kerosakan dikenal pasti dan dibaiki.

"Catuan bekalan sekitar 40 MW hingga 60 MW sekali lagi terpaksa dilakukan pada 27 dan 28 April lalu disebabkan masalah teknikal luar jangka yang dialami beberapa stesen jana kuasa milik SESB dan IPP menyebabkan hilang kapasiti janaan hampir 64MW.

"Berikutan itu, SESB terpaksa melakukan catuan bekalan di beberapa daerah secara bergilir-gilir untuk menstabilkan sistem grid elektrik bagi mengelakkan keseluruhan kawasan di Sabah mengalami gangguan bekalan," katanya.

Dalam hal berkaitan, Mohd Yaakob berkata, SESB juga sedang berbincang dengan Suruhanjaya Tenaga (ST) bagi membantu menangani masalah kekurangan rizab bekalan tenaga, khususnya yang membabitkan isu penambahan janaan baharu di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

"SESB ketika ini dalam proses untuk menaik taraf sistem pembekalan elektrik di negeri ini. Pelbagai usaha juga sudah dan sedang dilaksanakan dengan sebahagiannya kini di peringkat mendapatkan kelulusan pihak pemegang taruh," katanya.

Mohd Yaakob berkata SESB memahami kesulitan yang dialami pengguna ketika berlaku gangguan bekalan elektrik, namun pada masa yang sama syarikat utiliti itu memohon kerjasama pengguna supaya turut memahami kekangan yang dihadapi SESB dalam memberikan perkhidmatan yang mapan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2023 @ 8:30 PM