MUHAMAD RUSYAFIQ ROSLI
MUHAMAD RUSYAFIQ ROSLI
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Bukan satu atau dua namun Muhamad Rusyafiq Rosli mempunyai kelebihan mengagumkan apabila boleh bertutur dalam enam bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Thai, Mandarin, Arab dan Tamil.

Ia hasil usahanya mengikuti kelas bahasa dan inisiatifnya belajar dengan rakan sekerja.

Selain bertutur, Muhamad Rusyafiq, 27, juga boleh menulis dalam bahasa Mandarin, Jepun, Arab dan Thai.

Guru subjek Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Segambut Jaya, di sini, berkata, keinginan belajar itu didorong oleh minat, kemahuan memahami dan perasaan cemburunya melihat orang India dan Cina di negara ini bertutur dalam bahasa ibunda mereka dan bahasa Melayu.

"Bertitik tolak daripada perasaan cemburu itu, timbul keinginan untuk belajar bahasa lain dan bermula 2017 iaitu ketika menyambung pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), saya mula mengikuti kelas bahasa ketiga.

"Ada banyak kelas bahasa antarabangsa ditawarkan di kampus dan setiap semester, saya ambil kelas berbeza malah pernah juga belajar bahasa Perancis dan Sepanyol.

"Tapi bahasa asing yang saya betul-betul fasih adalah Mandarin dan Thai sampai boleh pergi kedai dan pesan dalam bahasa itu.

"Bahasa Arab pula kerana dulu sambung belajar di UIAM jadi ia sudah jadi satu kemestian manakala Tamil sudah tiga tahun cuma jarang digunakan dalam perbualan seharian dan paling kurang fasih cuma tahun ini saya mahu asah lagi kemahiran itu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Muhamad Rusyafiq, banyak kelebihan diperoleh hasil kefasihannya bertutur dalam bahasa asing antaranya memahami pertuturan dan bertutur dengan individu daripada kaum lain serta boleh tawar menawar harga ketika membeli.

"Kelebihan itu membantu saya untuk merapatkan lagi hubungan dengan kaum lain di negara ini.

"Selain itu, saya dapat memahami sekiranya ada orang mengutuk atau cakap sesuatu yang tidak elok dalam bahasa lain.

"Jujurnya memang agak liat nak belajar bahasa lain waktu sudah dewasa tapi sejak awal, saya tanam niat untuk belajar dan rezeki saya apabila cepat tangkap apa yang dipelajari hingga nampak fasih apabila bercakap.

"Niat saya belajar pun bukan untuk mendalami hingga boleh buat esei dan sebagainya pun tapi cukup boleh bertutur dengan baik," katanya.

Berhubung kandungan dimuat naik di TikTok, Muhamad Rusyafiq berkata, dia tiada niat meraih populariti tetapi hanya ingin menyebarkan aura positif kepada yang menonton video perkongsiannya.

"Setakat ini, ramai yang positif cuma ada segelintir beranggapan saya cuma mengajuk dan mempermainkan kaum India waktu bertutur bahasa Tamil kerana buat gerakan kepala waktu bercakap.

"Hakikatnya, pergerakan itu spontan, selari dengan nada ketika bercakap dan hanya yang belajar bahasa Tamil saja akan faham.

"Apa pun, terima kasih kepada yang menonton dan semoga ia jadi inspirasi kepada orang lain untuk belajar bahasa asing.

"Buat masa ini, saya tak ada perancangan belajar bahasa lain kerana saya seorang yang spontan dan boleh saja berbuat demikian pada bila-bila masa jika mahu," katanya yang kini menyambung pengajian dalam peringkat Ijazah Sarjana Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di UIAM.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2024 @ 2:16 PM