ANTARA warga Bangladesh yang membeli pakaian di Jalan Silang sebagai persediaan menyambut Aidilfitri. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
ANTARA warga Bangladesh yang membeli pakaian di Jalan Silang sebagai persediaan menyambut Aidilfitri. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Pekerja warga asing yang tidak pulang ke negara mereka pada Aidilfitri ini mula mengambil kesempatan membuat persiapan menyambut perayaan berkenaan.

Tinjauan di Jalan Silang, di sini, mendapati kebanyakan warga Bangladesh mula membeli-belah barangan persiapan perayaan.

Antara barangan yang menjadi tumpuan ialah kurta, kopiah, beras, wangian dan pelbagai barangan masakan dari negara berkenaan.

Peniaga warga Bangladesh, Mohd Kamal, 46, berkata, kebiasaannya kawasan itu akan dipenuhi pembeli selepas waktu bekerja atau selepas solat tarawih.

"Jika pagi begini, kebanyakan yang datang adalah wanita yang berkeluarga, mereka datang untuk membeli barangan dapur bagi membuat kek atau manisan ketika hari raya nanti.

"Ada juga yang membeli baju perayaan yang kita panggil sebagai kurta punjabi, ini pakaian tradisional kami, harga dijual sekitar RM30 hingga RM60," katanya.

Sementara itu, pelanggan, Rasid Ahmad, 37, berkata, dia yang sudah lima tahun berada di negara ini hanya membuat persiapan secara sederhana.

"Saya biasanya menghantar wang ke kampung halaman buat isteri dan anak-anak, bagi mereka seronok, kita di sini tak apa, sambut biasa-biasa saja.

"Apa yang penting anak-anak di kampung cukup semua, tahun lepas saya tidak membeli satu pun untuk diri saya semuanya dihantar ke kampung," katanya.

Dia yang bekerja sebagai buruh binaan berkata, dia bersama rakannya akan memberi tumpuan kepada juadah hari raya.

"Pakaian kami tidak beli, biasanya kami berpakat dan kumpul wang sama-sama kemudian beli barangan basah untuk persediaan juadah hari raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2024 @ 2:46 PM