Musim perayaan adalah waktu orang ramai sibuk membeli-belah.-Gambar hiasan.
Musim perayaan adalah waktu orang ramai sibuk membeli-belah.-Gambar hiasan.
PASANGAN suami isteri perlu merancang perbelanjaan.- Gambar hiasan.
PASANGAN suami isteri perlu merancang perbelanjaan.- Gambar hiasan.
Faizatul Farlin Farush Khan


Pengurusan kewangan amat penting terutama ketika membuat persediaan untuk menyambut Aidilfitri. Kajian terbaru yang dijalankan oleh Pakar Kewangan Pengguna

Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohamad Fazli Sabri, mendapati seramai 79 peratus pengguna menyatakan menyediakan belanjawan untuk sambutan raya.

Bagaimanapun, menurut Mohamad Fazli, biarpun sudah ada bajet, kurang separuh daripada jumlah itu yang benar-benar mengikut belanjawan manakala selebihnya berbelanja melebihi perbelanjaan yang ditetapkan.

Katanya, melalui kajian itu, didapati majoriti pengguna akan berbelanja satu ke tiga kali ganda berbanding perbelanjaan biasa bulanan mereka.

“Ini menunjukkan majoriti pengguna ada menyediakan bajet tetapi masalahnya mereka tidak mengikut bajet yang disediakan. Kurang disiplin diri inilah yang menyebabkan peningkatan dalam perbelanjaan.

“Tidak sepatutnya perkara ini berlaku kerana ini akan meningkatkan kecenderungan untuk berhutang atau meminjam bagi menampung perbelanjaan yang luar biasa.

“Jika menggunakan simpanan sendiri sekalipun, ia tidak seharusnya berlaku. Sebaliknya kita perlu mengetepikan wang beberapa bulan lebih awal sebagai persediaan bagi perbelanjaan besar, tidak kiralah sama ada untuk beraya atau membeli barangan yang mahal,” katanya.

Kajian bertajuk ‘Corak Perbelanjaan Hari Raya Aidilfitri Rakyat Malaysia’ itu dijalankan secara dalam talian dari 19 hingga 24 Jun baru-baru ini, membabitkan 748 responden di seluruh Malaysia.

Tambahnya, corak perbelanjaan pengguna boleh membawa kepada hutang sama ada menggunakan kad kredit, meminjam dari keluarga atau institusi lain, malah sekiranya diamati, banyak iklan meminjam wang dipaparkan di tempat awam setiap kali tiba musim perayaan.

Katanya, setiap kali menerima gaji, pengguna perlu tahu menguruskannya terutama apabila membabitkan perbelanjaan besar, bagi mengelak wang dalam jumlah besar digunakan dalam tempoh singkat.

“Antara cara yang boleh dilakukan sekiranya perlukan wang yang banyak untuk berbelanja adalah mencari pendapatan sampingan seperti berniaga secara kecil-kecilan.

“Selain itu, masyarakat perlu mengubah minda dan tidak terlalu memfokus mengenai perbelanjaan untuk hari tertentu, sebaliknya menyedari kesan selepas perbelanjaan besar dibuat sekali gus.

“Kita juga tidak perlu memakai pakaian atau barangan berjenama yang mahal hanya kerana hendak beraya, sebaliknya pakaian baru juga ada dijual dengan harga yang lebih berpatutan, sesuai dengan tahap kemampuan seseorang,” katanya.

Pada masa sama, penyediaan duit raya juga tidak harus ‘bersaing’ dengan orang lain - sediakanlah dalam jumlah yang mampu dan tidak membebankan diri sendiri.

Menurutnya, pemberian duit raya adalah bagus terutamanya dalam kalangan kanak-kanak kerana ia dapat mendidik mereka menabung.

“Namun jika kita tidak mampu, tidak perlu bagi dalam jumlah yang besar, cukup untuk menceriakan mereka dan dianggap sebagai sedekah untuk menggalakkan anak-anak kecil belajar menyimpan.

“Jangan terlalu terikut orang lain yang mampu beri dalam jumlah yang banyak. Kita tidak harus rasa terbeban dan perlu memikirkan perbelanjaan selepas Aidilfitri,” katanya.

Daripada kajiannya juga mendapati, kebanyakan pengguna membelanjakan antara RM100 hingga RM300 untuk membeli pakaian sendiri, pasangan, anak-anak, kuih raya, juadah pagi raya, servis kenderaan, kenderaan atau pengangkutan dan duit raya.

Menurutnya, golongan paling ramai yang menyediakan bajet perbelanjaan raya terdiri daripada wanita muda berusia antara 20 hingga 39 tahun yang sudah berkahwin dan tinggal di kawasan bandar.

Panduan membeli-belah

Mohamad Fazli berkongsi panduan membeli-belah yang boleh diamalkan setiap kali membabitkan perbelanjaan besar.

1. Sediakan bajet khusus untuk persiapan Aidilfitri atau keperluan lain. Tetapkan berapa jumlahnya misalnya antara RM1,000 hingga RM2,000.

2. Babitkan pasangan misalnya kedua-dua suami isteri ambil keputusan bersama, dalam penyediaan bajet dan kongsikan bersama ahli keluarga.

3. Sediakan senarai barangan dan keperluan yang ingin dibeli. Pastikan berbelanja ikut apa yang dibincang dan diputuskan. Perlu berdisiplin dalam berbelanja.

4. Buat persiapan awal untuk perayaan dan elak pembelian pada saat-saat akhir kerana ada kecenderungan membeli barangan yang tidak perlu.

5. Pembelian perlu dilakukan secara tunai bagi mengelak terlebih belanja.

6. Jangan ambil hutang baru semata-mata untuk penuhi tuntutan nafsu dan emosi raya.

7. Kurangkan kekerapan ke pusat beli belah dan seeloknya rancang pembelian.

8. Buat perbandingan harga barangan dan perkhidmatan yang ingin dibeli. Boleh rujuk rakan dan media sosial untuk mendapatkan maklumat tambahan sebelum keputusan pembelian dilakukan.

9. Berhati-hati dan jangan mudah terpedaya dengan iklan tawaran harga murah atau istimewa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2016 @ 5:01 AM