GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Seorang lelaki yang mengaku bersalah melakukan khianat dengan melempar najis manusia ke rumah seorang wanita serta mengugut bunuh didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini.

Hukuman diputuskan Majistret Khairunnisak Hassni selepas menerima pengakuan tertuduh, Mohd Nazri Nazaruddin, 43, yang juga seorang penganggur.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Nazri didakwa melakukan ugutan dengan berkata, 'aku bunuh kau, aku akan ganggu keluarga kau sampai bila-bila' hingga menakutkan wanita berusia 69 tahun, di sebuah rumah bernombor di KM5, Bukit Baru, Kampungku Sayang dekat sini, pada 4 Januari lalu, kira-kira 7 pagi.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan melemparkan najis manusia ke dalam rumah wanita warga emas itu pada tarikh, masa dan tempat sama yang menyebabkan kerugian bernilai RM100.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan.

Mahkamah kemudian mendenda tertuduh RM3,000 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar bagi pertuduhan pertama dan denda RM2,000 atau dua bulan penjara bagi pertuduhan kedua.

Dalam pada itu, tertuduh juga mengaku bersalah atas pertuduhan memberikan dadah morfin kepada diri sendiri mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 4 Jun depan bagi mendapatkan laporan patalogi dan tertuduh dibenarkan diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 4:44 PM