FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Empangan Pulau Sebatik di Tawau yang sebelum ini dilaporkan kering akibat kemarau berpanjangan, kembali menakung air selepas menerima hujan menerusi operasi pembenihan awan yang dijalankan sejak Khamis lalu.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya berkata, walaupun masih pada paras minimum, loji rawatan air (LRA) yang memproses air empangan itu sudah boleh beroperasi semula dengan kapasiti 0.3 juta liter sehari (MLD).

Katanya, perkembangan itu memberi sedikit kelegaan kepada penduduk Sebatik kerana pulau itu adalah kawasan yang berdepan masalah air kritikal akibat kemarau di Sabah sejak awal tahun ini, selain daerah Papar yang diisytiharkan sebagai kawasan bencana pada 13 Mac lalu.

"Pembenihan awan yang dilaksanakan tiga hari hingga Sabtu (semalam) menunjukkan kejayaan 67 peratus bagi dua hari operasi berikutan ada hujan di Lahad Datu, Tawau dan Papar serta Kota Kinabalu.

"Namun, kita belum dapat kepastian sama ada hujan juga turun di kawasan tadahan yang menjadi sumber air bagi sungai dan empangan kita.

"Tapi, di Pulau Sebatik kita sudah nampak kesannya apabila empangan yang kering sebelum ini berisi semula dan LRA dapat berfungsi dalam keadaan minimum 0.3 MLD," katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa bersama anak yatim, petugas Pejabat Parlimen Putatan dan media, di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, katanya Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) masih meneruskan agihan air menerusi sumber air bawah tanah menggunakan lori tangki kepada penduduk Pulau Sebatik memandangkan air terawat yang dapat disalurkan ketika ini masih pada tahap minimum.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 9:20 AM