Ling Tian Soon
Ling Tian Soon
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kes denggi di negeri ini mencapai tahap sangat membimbangkan apabila ia merekodkan peningkatan 30 peratus minggu lalu, berbanding minggu sebelumnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon, berkata pada minggu sebelumnya atau Minggu Epid 18/2023 sejumlah 168 kes denggi dilaporkan sebelum ia meningkat mendadak sebanyak 218 kes denggi pada minggu lalu atau Minggu Epid ke 19/2023.

Katanya, peningkatan kes demam denggi minggu lalu itu adalah yang tertinggi pernah dilaporkan setakat tahun ini.

Satu kematian berpunca kes demam denggi turut dilaporkan pada Minggu Epid 19/2023 di Johor.

"Tren peningkatan demam denggi di negeri ini adalah sangat membimbangkan.

"Jumlah kumulatif kes demam denggi di Johor setakat Minggu Epid ke 19/2023 ialah sebanyak 2,917 kes dan ia mencatatkan peningkatan 415 peratus kes berbanding tempoh yang sama tahun lalu dengan hanya sebanyak 566 kes.

"Daripada jumlah kes yang dilaporkan, sebanyak 1,081 kes (37.1 peratus) dilaporkan dari lokaliti wabak dan 1,836 kes (62.9 peratus) dari lokaliti bukan wabak," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Tian Soon berkata, daerah yang melaporkan kes tertinggi demam denggi adalah Johor Bahru yang menyumbang sebanyak 154 kes, 70.6 peratus dari jumlah keseluruhan kes di negeri ini.

Ia diikuti Kulai (30 kes, 13.8 peratus), Batu Pahat (11 kes, lima peratus), Kluang (lapan kes , 3.7 peratus), Kota Tinggi (empat kes, 1.8 peratus).

"Muar, Tangkak dan Segamat masing-masing (tiga kes, 1.4 peratus) manakala, Pontian dan Mersing masing-masing (satu kes , 0.5 peratus).

"Daerah yang melaporkan peningkatan kes pada Minggu Epid 19/2023 berbanding Minggu 18/2023 adalah Johor Bahru, Kulai, Batu Pahat, Kota Tinggi dan Tangkak," katanya.

Tian Soon berkata, aktiviti pemusnahan tempat pembiakan (PTP) kini giat dijalankan oleh anggota kesihatan membabitkan di dalam dan luar rumah.

"Penemuan tempat pembiakan serta tempat berisiko pembiakan di dalam rumah menunjukkan masyarakat masih lagi belum peka kepada keperluan pembersihan dan pemusnahan tempat berisiko untuk pembiakan nyamuk Aedes.

"Aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan pun mengeluarkan sebanyak 2,385 kompaun dengan nilai kompaun sebanyak RM 1,143,000 ditawarkan.

"Daripada jumlah itu sebanyak 56.2 peratus telah membayar kompaun berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2023 @ 2:00 PM