Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Setiap kali menjelang Ramadan, ia cukup bermakna buat Nik Nur Radhiah Nik Kamaruzaman yang menghasilkan agar-agar kering sepanjang bulan puasa.

Lebih istimewa, agar-agar kering atau lebih dikenali sebagai 'kuih orang lama' yang diusahakan anak bongsu daripada dua beradik itu hanya dihasilkan sepanjang Ramadan saja.

Mewarisi perniagaan turun temurun sejak moyangnya lebih 100 tahun itu, Nik Nur Radhiah adalah generasi keempat yang kini meneruskan pemanis mulut berwarna warni itu dan resipi itu kekal sama tanpa diubah walaupun sudah sekian lama dihasilkan.

"Setiap hari, saya menghasilkan agar-agar kering sebanyak 60 dulang membabitkan kira-kira 200 bungkus. Setiap bungkus yang mengandungi 100 batang agar-agar kering itu dijual pada harga RM9," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seterpa.

Beliau berkata, bahan utama yang diperlukan untuk menghasilkan agar-agar kering adalah gula, agar-agar mentah, air dan pewarna.

"Hanya cara masakan yang membezakan keenakan agar-agar kering berkenaan. Untuk menghasilkannya mengambil masa tiga hari sebelum dibungkus.

"Bermula dengan memasak agar-agar yang mengambil masa lima jam, kemudian memasukkan dalam bekas sebelum dibiarkan sehingga keesokan dan dipotong, manakala proses seterusnya pula menjemur di bawah cahaya matahari selama 12 jam diikuti dengan pembungkusan.

"Nampak senang dengan bahan yang mudah, namun untuk menghasilkannya memerlukan masa dan kesabaran yang tinggi. Cahaya matahari sangat penting dan sekiranya hari berkenaan mendung, kita tidak boleh menjemurnya," katanya.

Anan Waming memeriksa sebahagian agar-agar kering. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Anan Waming memeriksa sebahagian agar-agar kering. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Jelasnya, dia turut dibantu ibu, abang dan ibu saudara bagi menghasilkan agar-agar kering berkenaan.

"Sebenarnya perniagaan agar-agar kering bermula daripada moyang, sebelum resipi itu diturunkan kepada anaknya, diikuti cucunya merangkap ayah saya sehinggalah resipi ini jatuh kepada saya.

"Uniknya, resipi agar-agar kering ini diwasiatkan oleh moyang iaitu untuk satu generasi hanya seorang yang akan mendapat resipi ini dan tidak boleh diberitahu kepada orang lain termasuk ahli keluarga.

"Memandangkan untuk generasi keempat diberikan kepada saya, memang resipi hanya saya saja yang tahu dan disebabkan itu hanya saya saja yang memasaknya, manakala yang lain membantu menjemur dan membungkus," katanya.

Nik Nur Radhiah yang turut bekerja sebagai penghantar surat khabar itu berkata, disebabkan ketelitian dan masa yang diperlukan untuk membuat agar-agar kering menyebabkan dia hanya membuat pada Ramadan, manakala bulan lain dia memberi tumpuan kepada kerjanya.

"Alhamdulillah kalau ikutkan pemborong mahu 1,000 paket sehari, namun saya tidak mampu sebaliknya hanya mampu membuat 200 bungkus saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2024 @ 12:40 PM