WAN Nah ketika menyediakan serunding di Kampung Laut. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
WAN Nah ketika menyediakan serunding di Kampung Laut. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
Siti Rohana Idris

Tumpat: ‘Biar lambat asalkan sedap’, demikian prinsip seorang pengusaha serunding di Kampung Laut 1 di sini, yang masih menggunakan dapur kayu untuk menghasilkan makanan tradisi itu sejak 50 tahun lalu.

Walaupun pengusaha lain menggunakan dapur gas, Wan Nah Wan Abdullah, 78, tetap menggunakan kaedah tradisional itu untuk memastikan keaslian rasa serunding yang diperturunkan sejak zaman arwah ibunya lagi.

Seawal jam 8 pagi, Wan Nah menyediakan bahan seperti bawang putih, bawang merah, lada kering, halia serta ketumbar sebelum ia dikisar dan dimasak dalam tiga kuali tembaga untuk menghasilkan serunding daging lembu, ayam dan ikan.

Walaupun prosesnya mengambil masa hampir 10 jam untuk dimasak dengan kayu api, Wan Nah tidak kisah kerana dia lebih mengutamakan kualiti serunding yang dihasilkan.

SERUNDING dimasak menggunakan kayu api. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
SERUNDING dimasak menggunakan kayu api. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

“Memang diakui menghasilkan serunding menggunakan kaedah ini mengambil masa agak lama tapi yang pasti rasanya sedap dan ada keasliannya.

“Bukan itu sahaja, rasa yang sedap juga akan diperolehi apabila ramuan yang dimasukkan ke dalam adunan tidak dicatu.

“Saya juga tidak menggunakan sebarang alat untuk menyukat bahan sebaliknya hanya dengan mengagak, contohnya untuk sekilogram daging, memerlukan sekilogram juga santan, baru lah rasa lemak,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, setiap hari dia mampu menghasilkan kira-kira 24 kilogram (kg) serunding ayam, 20 kg daging dan 19 kg ikan selain beberapa produk lain termasuk agar-agar kering, karipap mini serta dodol.

Katanya, dia turut dibantu dua anaknya, Riduan Mahmud, 55, dan Anisah Mahmud, 50, serta menantu, Noridah Majid, 45.

RIDUAN bersama isterinya, Anisah memasak serunding. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
RIDUAN bersama isterinya, Anisah memasak serunding. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

“Dijual dengan harga antara RM40 hingga RM60 untuk sekilogram, produk saya bukan hanya untuk pasaran sekitar daerah ini malah turut dikunjungi pembeli dari daerah serta negeri lain,” katanya.

Seorang pelanggannya, Rahlinie Abd Aziz , 60, berkata, rasa serunding yang dijual Wan Nah berbeza dengan pengusaha lain.

“Rasa serunding yang dimasak menggunakan dapur kayu lebih sedap, mungkin disebabkan tempoh yang lama dimasak serta aroma asap itu itu sendiri,” katanya.

RIDUAN menunjukkan daging serunding yang siap dimasak di Kampung Laut. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
RIDUAN menunjukkan daging serunding yang siap dimasak di Kampung Laut. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Mac 2018 @ 6:32 AM