Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Iftar Santunan Kasih Ramadan di MRSM Felda hari ini. FOTO BERNAMA
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Iftar Santunan Kasih Ramadan di MRSM Felda hari ini. FOTO BERNAMA
Rosman Shamsudin


Sungkai: Peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang berpendapatan bawah RM1000 sebulan akan menerima bantuan khas secara bersasar sebanyak RM300 sebelum sambutan Aidilfitri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagi peneroka yang berpendapatan RM1001 sehingga RM2000 pula diberi pengecualian termasuk pendapatan di bawah RM1000 membayar hutang pada Mac ini.

"Peneroka berkenaan akan menerima bantuan bersasar sebelum Aidilfitri.

"Saya berharap pihak pengurusan Felda dapat melaksanakan sebelum Aidilfitri dan memastikan tiada ada yang tercicir," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Bersama Warga Felda di Dewan Besar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda Trolak, dekat Sungkai.

Yang turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Sharif.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda Trolak yang juga MRSM kelima negeri Perak turut menerima peruntukkan berjumlah RM 280,000 melalui Tabung Khas Penyelenggaraan IPMA di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2024 @ 8:49 PM