Ashari Abu Samah.
Ashari Abu Samah.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Mayat lelaki warga Australia yang ditemukan di sebuah unit kondominium di Jalan Bemban Ampang, di sini, sudah meninggal dunia lebih lima hari.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, polis menerima laporan kejadian pada jam 10.50 malam.

"Pemeriksaan mendapati mayat terbaring di belakang pintu utama kediaman dalam keadaan leher terjerut dan tergantung di tombol pintu.

"Lelaki berusia 48 tahun itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ashari berkata, siasatan awal mendapati mangsa disyaki meninggal dunia lebih lima hari dan tiada unsur jenayah ditemui di lokasi.

Katanya, mayat dihantar ke Unit Forensik HKL untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

"Setakat ini kes diklasifikasi sebagai mati mengejut," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian menyalurkannya dengan menghubungi Ketua Polis Balai Pudu, Inspektor Fitri Farhan Wan Chik di talian 03-93899222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau balai polis berhampiran.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, seorang lelaki warga Australia ditemui meninggal dunia di dalam sebuah rumah di Jalan Bemban Ampang, di sini, tengah malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, anggota bertugas mendapati pintu rumah berkenaan berkunci.

Pintu kemudian dibuka dan mereka menemui mayat lelaki di dalam rumah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2024 @ 3:24 PM