Penjawat awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta rasuah secara bulanan daripada seorang pengurus syarikat bagi memperakukan kerja penyelenggaraan sebuah kolam renang di Alor Setar, Kedah.
Penjawat awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta rasuah secara bulanan daripada seorang pengurus syarikat bagi memperakukan kerja penyelenggaraan sebuah kolam renang di Alor Setar, Kedah.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Penjawat awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki meminta rasuah secara bulanan daripada seorang pengurus syarikat bagi memperakukan kerja penyelenggaraan kolam renang di Alor Setar, Kedah.

Menurut sumber, lelaki berusia dalam 50-an yang bertugas sebagai penyelia itu dipercayai menerima wang berjumlah kira-kira RM67,000.

"Suspek ditahan kira-kira jam 3 petang semalam ketika diminta hadir memberi keterangan di SPRM Perlis.

"Siasatan mendapati suspek dipercayai meminta rasuah secara bulanan bagi kerja-kerja penyelenggaraan kolam renang dan pembekalan bahan kimia antara Oktober 2022 sehingga Ogos 2023," katanya.

Susulan tangkapan itu, Majistret Tuan Ahmad Hamdi Mustafar mengeluarkan reman selama lima hari terhadap suspek bermula hari ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kangar Perlis.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Gani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17 (a)Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2024 @ 2:38 PM