Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneruskan siasatan berhubung penjualan stoking tertera kalimah 'Allah' walaupun permohonan maaf sudah dibuat oleh KK Mart dan vendornya.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, ia bagi menangani isu yang mencetuskan kegemparan dan kegusaran awam.

"KDN memandang serius isu ini dan tindakan penguatkuasaan diambil dengan melaksanakan (pemeriksaan) di semua premis KK Mart di seluruh negara.

"Hasil pemeriksaan yang kita buat, didapati KK Mart sudah menarik balik semua stoking berkenaan di semua cawangannya di seluruh negara.

"Namun demikian, siasatan lanjut kita laksanakan terhadap pengurusan dan vendor-vendor yang terbabit bagi memastikan stoking ini tidak lagi berada di pasaran dalam negara ini," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berkaitan apakah tindakan yang akan diambil oleh KDN bagi menoktahkan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah ini dan adakah kementerian akan membuat pindaan terhadap Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Sebelum ini, tular di media sosial berkaitan kewujudan stoking tertera kalimah Allah yang dijual secara terbuka di rangkaian kedai runcit terbabit.

Bagaimanapun, KK Mart kemudiannya tampil membuat permohonan maaf susulan penjualan stoking di satu daripada cawangannya.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, sehingga kini, polis sudah menerima 36 laporan berkaitan penjualan stoking berkenaan dan satu kertas siasatan sudah dibuka.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar menjangkakan bahawa pihaknya akan membentangkan pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 itu di Dewan Rakyat pada tahun ini.

"KDN dalam tindakan untuk meminda akta ini bagi memastikan ia memenuhi keperluan dan kehendak semasa, terutama sekali berkaitan dengan jenayah dalam talian dan sebagainya.

"Begitu juga pada 11 Mac tahun ini, kita sudah adakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak bagi mengemaskini dan memastikan pindaan ini dapat dilaksanakan dengan baik," katanya.

Shamsul Anuar Nasarah ketika Sidang Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. foto bernama
Shamsul Anuar Nasarah ketika Sidang Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. foto bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2024 @ 12:31 PM