Pengerusi CSM, Zuraini Kamal (Kanan) menyampaikan sumbangan kepada pesakit kanser paru-paru tahap empat, Abdul Rahim Mat Akhir (dua dari kiri). FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Pengerusi CSM, Zuraini Kamal (Kanan) menyampaikan sumbangan kepada pesakit kanser paru-paru tahap empat, Abdul Rahim Mat Akhir (dua dari kiri). FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Kesulitan hidup dialami pesakit kanser paru-paru tahap empat Abdul Rahim Mat Akhir, 49, yang kisahnya disiarkan di akhbar ini, Jumaat lalu mendapat simpati Cancer Survivors Malaysia (CSM).

Abdul Rahim yang kehilangan suara akibat penyakit dihidapinya bersyukur dengan kunjungan CSM sekali gus memberikan semangat kepadanya untuk meneruskan rawatan di hospital.

Menurutnya, dia sudah menjalani tiga kali pusingan rawatan kemoterapi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.

"Dalam keadaan sekarang, saya terpaksa mengharapkan isteri kerana dia seorang saja yang bekerja kerana saya tidak dapat bekerja lagi," katanya ketika ditemui di Kampung Tepi Laut, Kuala Kedah, dekat sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi CSM, Zuraini Kamal berkata, sumbangan wang tunai, susu formula dan barang keperluan harian itu diharap dapat meringankan beban yang ditanggung keluarga itu.

"Selepas kisah mereka disiarkan di Harian Metro, kami terpanggil untuk menziarahi keluarga ini bagi menyampaikan sumbangan sempena Ramadan.

"Kami berharap Abdul Rahim akan terus kuat melawan penyakit ini walaupun kehilangan suara sejak tiga bulan lalu," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Abdul Rahim dan keluarganya menyambut Ramadan serba sederhana kerana hanya isteri keluar bekerja bagi menyara keluarga berikutan kesihatan dirinya tidak mengizinkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2024 @ 4:03 PM