TANGKAP layar video menunjukkan keadaan sebuah gerai di bazar Ramadan Kuala Klawang selepas dilanggar kereta yang menggelongsor. VIDEO ihsan polis
TANGKAP layar video menunjukkan keadaan sebuah gerai di bazar Ramadan Kuala Klawang selepas dilanggar kereta yang menggelongsor. VIDEO ihsan polis
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Peniaga bazar Ramadan di Kuala Klawang, di sini, melecur 25 peratus terkena minyak panas yang tertumpah selepas gerainya dirempuh sebuah kereta yang menggelongsor, Selasa lalu.

Kejadian pada 5.45 petang itu dipercayai berlaku selepas sebuah kereta yang diletak di hadapan gerai menggelongsor sebelum melanggar gerai milik mangsa berusia 40 tahun berasal dari Nilai.

Ketua Polis Daerah Jelebu Deputi Superintendan Maslan Udin berkata, pelanggaran itu menyebabkan kuali yang dipenuhi minyak panas tertumpah dan terkena mangsa.

"Akibatnya, mangsa melecur pada bahagian belakang badan, peha dan betis kaki sebelah kiri.

"Ketika kejadian dipercayai terdapat dua kanak-kanak di dalam kereta tanpa pengawasan ibu bapa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Maslan berkata, mangsa dihantar ke Hospital Jelebu oleh ambulans sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pagi hari ini.

Katanya, polis masih menyiasat kejadian mengikut Rule 14(1)(A) LN 166/59 (tidak mematikan enjin ketika meninggalkan kenderaan).

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian supaya tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan atau boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Jelebu, Sarjan Azani Jusoh di talian 016-9752980.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2024 @ 4:47 PM