GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Muhammad Yusri Muzamir

Kuala Lumpur: Industri sawit negara menanggung kerugian nilai eksport RM7.9 bilion setahun akibat kekurangan hampir 40,000 tenaga kerja dalam sektor perladangan komoditi berkenaan.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata anggaran kerugian itu mengambil kira nilai ekonomi diterjemahkan melalui tuaian satu tan kelapa sawit bagi setiap seorang tenaga kerja bagi tempoh 265 hari.

Beliau berkata, industri sawit negara juga berdepan masalah apabila lambakan buruh asing di beberapa sektor lain, tidak boleh dipindahkan untuk berkhidmat dalam sektor perladangan komoditi itu.

Katanya, ia kerana kebanyakan buruh asing terbabit dibawa masuk ke Malaysia untuk berkhidmat di sektor pengilangan serta perkhidmatan, masing-masing mencatatkan lebihan seramai 160,000 dan 27,000 orang.

"Mereka (lebihan buruh asing di sektor pengilangan dan perkhidmatan) ini sepatutnya kalau boleh masuk dalam ladang (sawit), ia sangat bagus untuk membantu kekurangan pekerja ladang.

"Namun, masalahnya ialah buruh asing ini dibawa masuk atas tiket pengilangan dan perkhidmatan, menyebabkan mereka enggan bekerja di ladang (kelapa sawit).

"Malah, saya difahamkan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia sudah menghentikan kuota kemasukan buruh asing dan kita cuba meyakinkan sebahagian mereka (lebihan pekerja asing) untuk masuk ke sektor perladangan," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai kekurangan tenaga kerja yang merencatkan nilai eksport kelapa sawit negara, pada sesi lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Johari mengakui, industri sawit negara berdepan masalah kritikal untuk menuai komoditi berkenaan memandangkan tiada teknologi yang boleh digunakan bagi proses terbabit.

Ini kerana, katanya, proses menuai buah sawit memerlukan tenaga mahir dibantu penggunaan mekanisasi tertentu, antaranya beberapa jenis pisau automatik.

"Sebab ini kita banyak bergantung kepada buruh asing. Kalau ikut nisbah, separuh daripada 300 pekerja dalam satu ladang diperuntukkan bagi proses menuai buah sawit," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai).

Beliau berkata, kementerian ketika ini, melaksanakan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi melahirkan penuai sawit profesional bagi mengoptimumkan hasil tuaian.

Katanya, peringkat awal pelaksanaan program itu membabitkan 60 belia tempatan yang kurang berminat melanjutkan pengajian untuk menjalani latihan menuai buah sawit, bermula April hingga September ini.

"Ini kerana, mereka boleh meraih pendapatan melebihi RM3,500 sebulan, selain kita berharap pelatih berkenaan boleh memberi tumpuan untuk proses mengutip buah (sawit).

"Kita boleh menggalakkan lebih ramai (tenaga kerja tempatan) untuk menuai sawit apabila kepakaran (untuk menuai buah sawit) dapat diraih," katanya.

Terdahulu, Johari ketika menjawab soalan asal berkata, Malaysia mengeluarkan 19.07 tan minyak sawit mentah (CPO) dan 2.2 juta tan minyak isirung sawit mentah (CPKO), antara 2013 hingga 2023.

Beliau berkata, nilai eksport CPO dan minyak sawit diproses ialah RM184.27 juta tan bagi tempoh sama.

"Eksport secara pukal pula sebanyak 155 juta tan, iaitu purata hampir 14 juta tan setahun, manakala eksport secara bukan pukal adalah 29.24 juta tan, atau purata 2.66 juta tan setahun.

"Dari segi peratusan, eksport secara pukal adalah 84.1 peratus, manakala bukan pukal (15.9 peratus)," kata Ahli Parlimen Titiwangsa itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 12:45 PM