Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan telah membuka 11 kertas siasatan termasuk enam kes membabitkan pencatutan hasil siasatan dan pemeriksaan di 3,099 premis sepanjang dua hari Ops Pantau yang bermula 12 Mac 2024.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya juga mengeluarkan notis kepada peniaga yang terlibat untuk menjawab dan memberikan maklumbalas tentang harga yang ditawarkan.

"Ops Pantau ini telah bermula sejak 12 Mac yang lalu bukan hanya meliputi aspek bazar Ramadan tetapi juga semua premis runcit, pasar raya basah dan sebagainya.

"Ia untuk melihat supaya tidak ada perkara-perkara termasuklah pencatutan yang dilakukan sepanjang Ramadan dan Aidilfitri," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai aduan orang ramai tentang kenaikan harga makanan di bazar Ramadan.

ARMIZAN di Dewan Rakyat. FOTO YouTube Parlimen Malaysia
ARMIZAN di Dewan Rakyat. FOTO YouTube Parlimen Malaysia

Mengulas lanjut, Armizan dalam masa sama turut menggesa agar pengguna untuk membuat aduan secara spesifik terhadap perkara yang menjadi keprihatinan mereka agar pemeriksaan dapat dibuat pihaknya di lokasi yang dinyatakan.

"Sebagaimana satu kes di bazar Ramadan TTDI (Taman Tun Dr Ismail), apabila kita membuat pemantauan, ya memang ada harga karipap yang tinggi.

"Namun akhirnya, ia berbalik kepada pengguna untuk pengguna membuat pilihan kerana di bazar Ramadan di TTDI itu, masih ada karipap yang dijual pada harga yang jauh lebih rendah daripada harga dipasarkan," katanya.

Beliau turut berharap dan merayu agar pengguna untuk menggunakan hak mereka dalam memilih sebarang produk pada harga yang berpatutan.

Peniaga terkesan kenaikan harga bahan mentah

Kenaikan harga makanan hingga RM2

Tak boleh elak naikkan harga, bahan mentah makin mahal - peniaga bazar Ramadan

Janganlah naik harga melampau

Harga naik 20 peratus

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2024 @ 12:40 PM