Dr Zaliha Mustafa
Dr Zaliha Mustafa

Kuala Lumpur: Tanggungan kerajaan ke atas pembayaran pencen merangkumi pesara perkhidmatan awam, ahli Parlimen dan anggota pentadbiran, setiausaha politik dan hakim meningkat lebih RM1 bilion setiap tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, kerajaan membayar RM32.01 bilion kepada 931,707 pesara tahun lalu, meningkat RM1.75 bilion berbanding tahun sebelumnya yang dibayar kepada 902,999 pesara.

Beliau berkata, pada 2022, kerajaan membayar pencen sebanyak RM30.26 bilion, meningkat RM2.22 bilion berbanding 2021 yang dibayar kepada 878,441 pesara membabitkan bayaran RM28.04 bilion.

"Untuk 2020, kerajaan membayar RM26.39 bilion kepada 859,422 pesara," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) yang bertanyakan jumlah sebenar pembayaran pencen kepada pesara penjawat awam yang terbabit pada 2020 sehingga 2023 dan peratusan peruntukan pencen daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan.

Sementara itu, menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) berhubung dasar terkini kerajaan mengenai pencen kakitangan awam serta kajian kesan jangka panjang kepada pembangunan masyarakat dan negara, Dr Zaliha berkata, dijangka bayaran pencen akan mencecah RM46.36 bilion pada 2030.

Beliau berkata, pada masa ini, skim pencen bagi pegawai yang sedang berkhidmat dan pesara sedia ada masih diteruskan, namun implikasi kewangan terhadap tanggungan faedah persaraan semakin meningkat setiap tahun.

Sehubungan itu katanya, memastikan kerajaan dapat menguruskan perbelanjaan kewangan negara dengan lebih mampan, kerajaan sedang meneliti kaedah baharu lantikan tetap dan akan membentangkan hasil kajian kepada Jemaah Menteri terlebih dahulu untuk pertimbangan dan kelulusan pelaksanaannya.

Menurutnya, kaedah baharu lantikan tetap yang bakal diperkenalkan oleh kerajaan adalah langkah berimpak besar ke arah menawarkan penyelesaian jangka panjang terhadap isu peningkatan tanggungan pencen perkhidmatan awam di samping memastikan kelangsungan serta kemampanan fiskal negara dalam membiayai perbelanjaan yang berkaitan dengan emolumen dan faedah persaraan yang dinikmati oleh penjawat awam.

"Pegawai baharu yang dilantik menerusi kaedah baharu akan menerima gaji, elaun dan kemudahan sama seperti yang dinikmati oleh pegawai lantikan tetap dan berpencen sedia ada. Ini termasuklah apa-apa elaun tetap seperti Imbuhan Tetap Keraian (ITK) dan Imbuhan Tetap Perumahan (ITP), serta elaun lain yang layak kepada skim perkhidmatan dan tugasan tertentu.

"Menerusi inisiatif di bawah Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), kerajaan turut memberi tumpuan kepada peningkatan pendapatan boleh guna penjawat awam seiring dengan peningkatan kos sara hidup semasa," katanya.

Di samping itu katanya, dengan pengenalan faedah persaraan baharu dan inisiatif di bawah Kajian SSPA, dijangka produktiviti pegawai awam akan meningkat, sekali gus mendorong mereka memberikan sumbangan yang optimum kepada perkhidmatan awam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2024 @ 8:31 AM