SAIFUDDIN Nasution. FOTO Arkib NSTP.
SAIFUDDIN Nasution. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

Putrajaya: Cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung kewarganegaraan anak yang dilahirkan oleh ibu warga Malaysia di luar negara yang berkahwin dengan warga asing, dipersetujui Jemaah Menteri pada mesyuarat hari ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pembentangan beliau hari ini mendapat lampu hijau dan langkah seterusnya akan membabitkan sesi libat urus dengan pelbagai pihak termasuk orang awam.

"Perkara ini akan diteruskan dengan proses seperti sesi penerangan termasuk kepada rakan media, sesi libat urus bersama tokoh individu berkepakaran serta ahli Parlimen yang akan mengundi nanti," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada Disember tahun lalu, Jabatan Peguam Negara dilaporkan sedang merangka draf cadangan pindaan perlembagaan itu, iaitu Perkara 14(1)(b) untuk memasukkan perkataan 'ibu', dengan tujuan membolehkan kewarganegaraan anak diperoleh secara kuat kuasa undang-undang.

Beliau turut berharap agar cadangan pindaan itu dapat dibentangkan secepat mungkin selewat-lewatnya tahun ini.

"Sudah dapat persetujuan, kita kena tunggu giliran sebab banyak lagi pindaan dari kementerian lain, jadi kita daftar dulu dan tunggu tarikh diberikan oleh setiausaha Dewan Rakyat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata tiada campur tangan politik akan berlaku dalam permohonan pindaan Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), supaya wakil rakyat parti itu tidak menyokong pemimpin parti lawan tanpa restu.

Minggu lalu, Ahli Majlis Pimpinan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan menggesa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) menyegerakan kelulusan pindaan itu, supaya ia boleh dikuatkuasakan, namun berharap kelulusan itu tidak membabitkan sebarang campur tangan politik.

"Campur tangan politik? Jangan sebab mereka pernah buat, jadi fikir saya akan melakukan perkara sama," katanya.

Perhimpunan Agung Khas Bersatu pada 2 Mac, meluluskan pindaan perlembagaan berhubung pelucutan keahlian bagi Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri yang menyokong pihak lawan atau musuh.

Keputusan sebulat suara itu diumumkan oleh Pengerusi Tetap Bersatu Datuk Mohd Suhaimi Abdullah di hadapan 1,956 perwakilan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 7:30 PM