DATUK Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. FOTO Mohd Fadli Hamzah
DATUK Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. FOTO Mohd Fadli Hamzah
BERNAMA

Kuala Lumpur: Draf Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti dimuktamadkan hari ini dan dijangka dibentang di Dewan Rakyat, 18 Julai ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, rang undang-undang berkenaan dicadang untuk dibahaskan pada 27 dan 28 Julai, tertakluk kepada budi bicara Yang Dipertua Dewan Rakyat.

"Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti serta penyata (laporan) daripada jawatankuasa pilihan khas itu akan dibentangkan atau diletakkan di atas meja Ahli Dewan Rakyat di Parlimen pada 18 Julai 2022.

"Penyata dan pindaan perlembagaan itu akan dijadikan rujukan kepada semua Ahli Dewan Rakyat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Wan Junaidi berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti Bil. 6 2022 hari ini.

Selain itu, beliau berkata, mesyuarat juga mencadangkan garis masa libat urus Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dan Jabatan Peguam Negara (AGC) bersama Ahli Dewan Rakyat kerajaan diadakan 25 Julai dan libat urus bersama Ahli Dewan Rakyat pembangkang, pada 26 Julai.

"Garis masa itu juga mencadangkan agar sesi libat urus bersama Ahli Dewan Negara diadakan pada 8 Ogos dan bacaan kali pertama di Dewan Negara pada 9 Ogos diikuti bacaan kedua pada 10 Ogos 2022," katanya.

Wan Junaidi berkata, setelah mendapat kelulusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, rang undang-undang berkenaan akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong di antara 11 hingga 26 Ogos untuk diperkenankan dan pewartaannya dijangka dilaksanakan antara 29 Ogos hingga 2 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2022 @ 2:30 PM