GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP.
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan akan menambah sebanyak 6,000 pegawai perubatan lantikan tetap untuk tempoh 2024 hingga 2025, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata sebelum ini, kerajaan telah melantik sejumlah 9,822 pegawai perubatan ke jawatan tetap bagi tempoh 2019 – 2023.

Dzulkefly berkata antara inisiatif atau pull factor untuk memastikan pegawai perubatan berkhidmat dalam sektor awam ialah menetapkan gaji permulaan dan elaun pegawai kontrak gred UD41 sebanyak RM5,197 sebulan, iaitu jumlah yang jauh lebih tinggi berbanding skim perkhidmatan awam lain.

"(Selain itu), elaun lokum yang mereka lakukan selepas waktu pejabat di klinik dan hospital di Jabatan Kecemasan hospital-hospital, kita berikan RM80 sejam, kurang lebih mereka akan bertugas tiga ke empat jam," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata kerajaan juga menyediakan insentif penawaran pengajian kepakaran menerusi kemudahan Cuti Belajar Bergaji Penuh (CBBP) dengan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) dan Program Latihan Kepakaran.

Pada masa sama, Dzulkefly meminta semua pihak untuk tidak membuat andaian berhubung skim pencen penjawat awam dan menunggu sehingga keputusan kajian penambahbaikan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang dilaksanakan pada masa ini diumumkan.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) mengenai perancangan jangka pendek dan panjang kementerian bagi menarik minat graduan perubatan untuk kekal berkhidmat dalam sektor kesihatan awam negara susulan kajian menghapuskan skim pencen penjawat awam.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata sebanyak 1,696 pegawai perubatan telah meletak jawatan di Kementerian Kesihatan pada 2022.

"Antara faktor utama peletakan jawatan pegawai perubatan ialah menerima tawaran untuk berkhidmat dalam sektor swasta atau badan berkanun, alasan peribadi serta masalah kesihatan," katanya menjawab soalan tambahan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang ingin tahu punca pegawai perubatan berhenti daripada sektor awam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 5:09 PM