Antara 10 pasangan pengantin yang diraikan pada Majlis Akad Nikah Rahmah sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun JAWI di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. FOTO IHSAN PEJABAT JABATAN PERDANA MENTERI HAL EHWAL AGAMA
Antara 10 pasangan pengantin yang diraikan pada Majlis Akad Nikah Rahmah sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun JAWI di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. FOTO IHSAN PEJABAT JABATAN PERDANA MENTERI HAL EHWAL AGAMA
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: "Alhamdulillah, inilah memori paling indah buat saya dan pasangan apabila YB Menteri (Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama Islam, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar) yang menikahkan saya." Begitu luahan gembira, Muhamad Adnan Abdullah, 52, apabila dia bersama pasangannya, Siti Mardiyah Mansor, 41, disatukan pada Program Akad Nikah Rahmah 2024 di Masjid Wilayah Persekutuan, tadi.

Muhamad Adnan tidak menyangka dia serta pasangannya dipilih dan hanya mengetahui perkara itu beberapa hari sebelum majlis akad nikah berkenaan.

"Pihak pejabat menteri (Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri) ada menghubungi saya serta pasangan untuk meminta izin serta memberitahu bahawa jurunikah kami pada majlis hari ini adalah YB Menteri.

"Alhamdulillah, saya tidak gugup, sekali lafaz saja sah saya dan pasangan bergelar suami isteri, ini adalah nikmat paling indah dikurniakan oleh Allah SWT," katanya.

Muhamad Adnan adalah Orang Kurang Upaya (OKU) apabila tangan kirinya lumpuh akibat kemalangan yang berlaku pada 1989.

Berkongsi nasihat disampaikan Mohd Na'im, dia disarankan supaya menumpukan sikap toleransi antara pasangan.

"YB Menteri juga menasihatkan bahawa semua masalah boleh diselesaikan dengan berbincang secara hikmah antara suami dan isteri.

"Saya juga amat berterima kasih kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang menganjurkan majlis ini serta rakan strategik lain.

"Niat baik untuk mendirikan rumah tangga dikurniakan dengan 1,001 nikmat yang tidak terhingga pada hari ini," katanya.

Pada majlis berkenaan, sebanyak 10 pasangan dengan pendapatan kurang RM4,500 sebulan dinikahkan dalam satu majlis khas.

Difahamkan, pasangan yang berkahwin hanya perlu membayar mas kahwin saja manakala pelamin, jamuan makan dan cincin disediakan oleh rakan strategik Jawi.

Sementara itu wakil penaja, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, pihaknya berharap penganjuran seperti itu akan menjadi contoh kepada orang lain dalam membantu pasangan mendirikan rumahtangga.

Katanya, dengan adanya seperti itu, secara tidak langsung ia dapat meringankan beban pasangan dan keluarga mereka dalam menganjurkan majlis perkahwinan.

"Kos dapat dijimatkan apabila buat secara beramai-ramai. Jamuan serta pengurusan majlis juga ditaja. Kita harap ia sebagai ibadat yang diberkati bukan saja kepada pengantin, tetapi semua pihak terbabit,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 3:12 PM