GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan penahanan seorang lelaki di sebuah kondominium di Wangsa Maju, di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, tangkapan lelaki tempatan berusia 33 tahun itu dilakukan jam 2.55 petang.

"Dalam serbuan itu, polis merampas 2,006 gram ganja dan 100 pil erimin 5 dianggarkan bernilai RM7,346 yang ditemui di dalam Proton Persona.

"Kami turut menyita kereta berkenaan yang bernilai RM43,000 menjadikan jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan kenderaan sebanyak RM50,404.

"Rampasan dadah itu boleh menampung seramai 2,106 penagih dadah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ashari berkata, sindiket pengedaran dadah itu dikesan aktif sejak enam bulan lalu di sekitar Lembah Klang.

"Modus operandi sindiket ini adalah dengan menghantar bekalan dadah kepada pelanggan mengikut pesanan diterima.

"Polis masih menjalankan siasatan untuk mendapatkan lokasi bekalan dadah itu diperolehi," katanya.

Beliau berkata, hasil saringan awal air kencing terhadap suspek didapati negatif dadah.

"Semakan mendapati suspek berkenaan mempunyai empat rekod berkaitan dadah.

"Suspek direman selama tujuh hari sehingga 28 Februari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang membantu memberikan maklumat berhubung kegiatan jenayah dan dadah di daerah ini.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan dan maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2024 @ 9:23 PM