FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menggesa orang ramai berhenti menyebar dan berkongsi video kekerasan yang berlaku terhadap seorang lelaki yang terbabit dalam kemalangan di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang, Selangor, baru-baru ini.

MCMC dalam satu kenyataan berkata, orang ramai yang sudah memuat naik video itu dinasihatkan untuk memadamkannya.

"Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menzahirkan rasa simpati dengan insiden tragis yang berlaku. Video itu

menunjukkan kekerasan yang berlaku terhadap seorang lelaki yang terbabit dalam kemalangan.

"Bagi menghormati keluarga mangsa, MCMC menggesa orang ramai untuk tidak menyebarkan video itu dan sekiranya sudah dimuat naik, MCMC menasihatkan orang ramai untuk memadamkannya.

"Perkongsian rakaman video mangsa tidak hanya mengguris perasaan keluarga, malah melanggar prinsip dan etika asas dengan penggunaan grafik berkaitan kecelakaan, kemalangan dan kekerasan yang boleh menimbulkan kegelisahan penonton. Sebagai garis panduan berkenaan penciptaan

kandungan, rujukan boleh dibuat melalui Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia," katanya.

Menerusi kenyataan sama juga, MCMC berkata setiap individu perlu mempertimbangkan sewajarnya untuk tidak menyebarkan video atau kandungan yang berkaitan dengan insiden itu.

"Sebarang perkongsian video atau kandungan membabitkan mangsa serta pihak yang terbabit boleh dikenakan tindakan undang-undang di

bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Terdahulu, media melaporkan, seorang lelaki bukan hanya ditarik keluar daripada kereta oleh orang awam selepas kemalangan, bahkan tangannya diikat dan dia dipukul hingga maut.

Kejadian tragis itu berlaku selepas lelaki berusia 42 tahun terbabit yang memandu kereta jenis Proton Saga terbabit kemalangan dengan penghantar makanan.

Sejurus kemalangan itu, mangsa dikejar orang awam hingga ke Taman Pelangi Semenyih 2 sebelum keretanya terbabas dan melanggar pagar kawasan perumahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2024 @ 11:19 AM