LAPORAN terdahulu.
LAPORAN terdahulu.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Lima individu yang ditahan susulan kes lelaki diikat dan dipukul sehingga maut selepas kemalangan di Taman Pelangi, Semenyih 2 pada 20 Februari lalu, akan dituduh di mahkamah, esok.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan memaklumkan kelima-lima suspek berusia 22 hingga 52 tahun itu akan dituduh di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi.

Difahamkan, semua suspek lelaki berusia 22 hingga 52 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan seorang lelaki bukan hanya ditarik keluar daripada kereta oleh orang awam selepas kemalangan bahkan tangannya diikat dan dia dipukul hingga maut.

Kejadian tragis itu berlaku selepas lelaki berkenaan yang memandu Proton Saga kelabu terbabit kemalangan dengan penghantar makanan.

Sejurus kemalangan itu, mangsa dikejar orang awam hingga ke Taman Pelangi Semenyih 2, sebelum keretanya terbabas dan melanggar pagar kawasan perumahan.

Susulan itu, polis menahan lima lelaki tempatan berusia 22 hingga 52 tahun di sekitar Kajang dan Semenyih beberapa jam selepas kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2024 @ 6:12 PM