Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail (tengah) menunjukkan rampasan kes penyeludupan mercun, barang elektrik, minuman keras, daging babi serta pistol angin (airsoft pistol) pada sidang media di Ibu Pejabat Kastam Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang. FOTO FAIZ ANUAR
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail (tengah) menunjukkan rampasan kes penyeludupan mercun, barang elektrik, minuman keras, daging babi serta pistol angin (airsoft pistol) pada sidang media di Ibu Pejabat Kastam Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang. FOTO FAIZ ANUAR
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Pelabuhan Klang: Klang: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 96,000 kilogram (kg) daging babi sejuk beku dianggarkan bernilai RM2.7 juta yang cuba diseludup ke negara ini selepas menahan empat kontena di Pelabuhan Utara, 13 Februari lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah JKDM, Norlela Ismail berkata, pemeriksaan ke atas empat kontena berkenaan menemui daging babi dipercayai tidak mempunyai permit import dari Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Norlela Ismail berkata, pemeriksaan ke atas empat kontena menemui daging babi sejuk beku dipercayai tiada permit import daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

"Modus operandi yang digunakan oleh pihak sindiket adalah mengikrar sebagai aksesori perabot di dalam borang manifes bagi mengelak dikesan oleh kastam.

"Nilai dagangan dianggarkan RM2.7 juta membabitkan rampasan sebanyak 96,000 kg," katanya pada sidang media di Pejabat Kastam Selangor, Pelabuhan Utara, di sini, hari ini.

Norlela berkata, siasatan lanjut mendapati kontena terbabit dari Hong Kong, namun label terdapat pada barang sejuk beku itu dari Brazil.

"Kita percaya daging babi (sejuk beku) ini cuba diseludup masuk dan kemudian dibungkus semula menggunakan pembungkusan tempatan.

"Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada sindiket ini adalah sindiket sama yang membawa masuk barangan sejuk beku di Sabah," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan, pihaknya merampas barangan berupa televisyen dan kipas siling termasuk cukai berjumlah RM1.1 juta.

Menurutnya, rampasan televisyen dibuat selepas pemeriksaan ke atas satu kontena di Pelabuhan Utara dan mendapati ia tidak mempunyai kelulusan SIRIM Berhad.

"Rampasan sebanyak 644 unit televisyen dengan nilai dagangan RM500,000 dilakukan. Pemeriksaan juga mendapati kontena diisytiharkan sebagai batuan marmar bagi mengelak dikesan.

"Bagi rampasan kipas siling, kastam melakukan pemeriksaan ke atas kontena dan menemui 1,990 kipas siling di mana pengimport gagal mengemukakan permit dari Suruhanjaya Tenaga (ST)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 4:42 PM