MOHAMAD Hasan
MOHAMAD Hasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan berada di The Hague , Belanda untuk mengambil bahagian dalam sesi pendengaran awam bagi mendapatkan Pendapat Nasihat Mahkhamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung isu Palestin.

Mohamad dijadual menyampaikan kenyataan lisan Malaysia di Peace Palace di The Hague pada 22 Februari pada 5.10 petang waktu tempatan atau 23 Februari pada 12.10 tengah malam waktu Malaysia.

"Malaysia menyertai prosedur Pendapat Nasihat ini bagi membantu ICJ meneliti persoalan-persoalan perundangan yang dikemukakan oleh Perhimpunan Agung PBB," katanya.

Mohamad berkata permohonan untuk Pendapat Nasihat itu terhasil daripada Resolusi 77/247 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang diterima pakai pada 30 Disember 2022, dengan Malaysia menyokong bersama resolusi berkenaan.

Beliau berkata, Pendapat Nasihat merupakan prosedur berasingan daripada permohonan Afrika Selatan bagi memulakan prosiding terhadap Israel, yang difailkan di ICJ pada 29 Disember 2023.

Beliau menegaskan bahawa walaupun permohonan Afrika Selatan difailkan atas dakwaan pencabulan oleh Israel terhadap kewajipannya di bawah Konvensyen Genosid 1948 terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza khususnya sejak 7 Oktober 2023, Pendapat Nasihat itu diperoleh daripada permintaan oleh UNGA.

Menurut beliau, Pendapat Nasihat memberi impak perundangan dan tanggungjawab moral yang besar serta menyumbang kepada pemahaman dan pembangunan undang-undang antarabangsa, yang boleh menjadi pemangkin keutuhan hubungan di antara negara" katanya.

Ini adalah kali kedua Malaysia terbabit secara langsung dalam prosedur mendapatkan Pendapat Nasihat ICJ bagi menyokong Palestin.

Pada 2004, Malaysia menyertai permohonan mendapatkan Pendapat Nasihat ICJ mengenai Kesan Perundangan Pembinaan Tembk di dalam Wilayah Pendudukan Palestin, yang mana ICJ memastikan bahawa tindakan Israel adalah bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

Menurut Mohamad, dalam prosiding Pendapat Nasihat kali ini, Perhimpunan Agung PBB mengemukakan beberapa persoalan perundangan bagi ICJ memberikan pendapatnya, termasuk kesan perundangan yang timbul akibat pencabulan berterusan oleh Israel terhadap hak rakyat Palestin bagi penentuan nasib sendiri (self-determination).

Juga, dasar dan tindakan oleh Israel yang memberi kesan terhadap status perundangan pendudukan Israel dan kesan perundangan yang timbul bagi semua negara dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Sebelum sesi pendengaran awam ini, Mohamad berkata, Malaysia sudah menyertai prosiding bertulis dengan mengemukakan kenyataan bertulis kepada ICJ pada 25 Julai 2023.

Mohammad berkata, penyertaan dalam prosedur Pendapat Nasihat ini melambangkan usaha bersepadu Malaysia di pelbagai platform termasuk di Majlis Keselamatan PBB, Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) dan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) bagi menyokong Palestin dan membawa Israel ke muka pengadilan.

"Sebagai sebuah negara yang lantang memperjuangkan isu Palestin, kehadiran Malaysia di ICJ adalah penting untuk berganding bahu bersama-sama negara sepemikiran dalam mempertahankan isu-isu kemanusiaan sejagat.

"Ia juga adalah selari dengan kepimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa bersuara lantang dalam mempertahankan hak rakyat Palestin di pelbagai platform antarabangsa" katanya.

Beliau berkata, Anwar sentiasa menekankan tanggungjawab moral komuniti antarabangsa untuk menangani kekejaman yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin yang tidak berdosa, terutamanya golongan wanita dan kanak-kanak.

Mohamad mengulangi pendirian teguh Malaysia bahawa rakyat Palestin berhak mendapat negara yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.

"Malaysia kekal komited, berdasarkan kemampuan dan keupayaannya, untuk mencari jalan penyelesaian yang berkekalan kepada konflik Palestin-Israel di semua platform antarabangsa," katanya

Beliau juga memberi jaminan bahawa Malaysia akan sentiasa meneruskan usaha untuk memastikan Palestin diterima sebagai anggota penuh PBB.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 1:38 PM