Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Malaysia akan melakukan apa sahaja untuk membela nasib rakyat Palestin termasuk gesaan gencatan senjata dan supaya Palestin diterima sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara ini menyambut baik keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) semalam yang menetapkan Israel mesti menghalang semua kemungkinan tindakan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

"Malaysia akan terus memantau dan melakukan apa sahaja seperti yang disuarakan oleh Menteri Luar (Datuk Seri Mohamad Hasan) di sidang perjumpaan PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) di New York beberapa hari yang lalu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Sambutan Jubli Intan Ulang Tahun Ke-60 Zoo Negara, di sini, hari ini.

BENDERA Palestin dikibarkan dalam protes di hadapan bangunan ICJ. FOTO Reuters.
BENDERA Palestin dikibarkan dalam protes di hadapan bangunan ICJ. FOTO Reuters.

Sebelum ini, Mohamad di New York pada Debat Terbuka Peringkat Menteri di Majlis Keselamatan PBB berhubung Situasi di Timur Tengah termasuk Isu Palestin dilaporkan menyatakan Malaysia menuntut gencatan senjata segera di Gaza selain menegaskan sudah tiba masanya untuk menerima Palestin sebagai Ahli Penuh PBB.

Mengulas lanjut, Anwar berkata walaupun keputusan ICJ bagi rakan di Palestin tidak sepenuhnya memihak kepada mereka tetapi ada pendirian yang jelas daripada ICJ mengenai perkembangan di sana.

Katanya, walaupun rakan dari Palestin atau Gaza tidak memberi (memihak) sepenuhnya tetapi sekurang-kurangnya jelas pendirian ICJ mengutuk serangan dan mendesak supaya dihentikan serangan dan disegerakan bantuan kemanusiaan.

ICJ semalam menetapkan Israel mesti menghalang semua kemungkinan tindakan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, namun mahkamah antarabangsa itu tidak memutuskan berhubung gencatan senjata.

Pada 12 Januari lalu, ICJ membuka perbicaraan kes yang dibawa Afrika Selatan iaitu menuntut penggantungan operasi ketenteraan di Gaza di mana ia mendakwa Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.

ICJ mendengar hujah Afrika Selatan dan respons Israel terhadap dakwaan itu dilakukan sehari kemudiannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2024 @ 1:24 PM