MOHD Yusrizal melakukan tinjauan di Pasar Besar Alor Setar, hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
MOHD Yusrizal melakukan tinjauan di Pasar Besar Alor Setar, hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kerajaan disaran mencari mekanisme terbaik untuk membantu golongan berpendapatan rendah yang dikhuatiri terjejas dengan kenaikan harga beras tempatan yang akan diselaraskan pada RM30 bagi setiap 10 kilogram (kg) bermula 1 Mac depan.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohd Yusrizal Yusoff berkata, ini berikutan kenaikan harga siling itu agak mahal sekali gus membebankan pengguna B40.

"Kenaikan RM30 ini agak mahal. Pendapatan isi rumah dan gaji minimum kita tidak meningkat. Kita masih lagi terkesan dengan Covid-19, jadi ini (kenaikan harga beras tempatan) amat menekan pengguna.

"Jadi kita kita nak tengok juga mekanisme apa yang kerajaan akan lakukan untuk membantu pengguna ekoran kenaikan harga makanan ruji rakyat ini. Kita harap supaya ada cadangan untuk tingkatkan pendapatan rakyat, tingkatkan gaji minimum," katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di Pasar Besar Alor Setar di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) mengumumkan kategori tunggal bagi beras putih iaitu Beras Putih Malaysia Madani bagi menggantikan beras putih tempatan dan import di pasaran.

Serentak dengan itu, harga siling tunggal beras ditetapkan pada RM30 bagi setiap 10kg, RM15.50 (5kg) dan RM3.50 (sekilogram) yang akan berada di pasaran pada 1 Mac.

Mohd Yusrizal berkata, pihaknya juga melahirkan kebimbangan berhubung mekanisme yang digunakan untuk menetapkan gred bagi beras tempatan dan import yang bakal diselaraskan dengan harga itu.

"Pertama sekali beras tempatan dan beras import tidak sama. Beras import kalau kita ambil dari luar negara dengan harga yang rendah mungkin grednya lebih rendah daripada beras tempatan.

"Jadi sekiranya beras Malaysia Madani itu, dia sudah tukar nama. Adakah kedua-dua beras ini dicampur ataupun beras ini diasingkan dan dijual tidak mengikut gred. Kita risau kualiti beras yang pengguna dapat," katanya.

Beliau turut menyentuh peruntukan dalam Akta Kawalan Padi dan Beras 1944 yang sebelum ini digunapakai untuk mengawal harga maksimum beras tempatan.

"Jadi kita tertanya-tanya adakah akta ini diguna pakai? Dulu akta ini diguna untuk kawal harga beras. Mekanisme kenaikan ini pun kalau kita nampak banyak banyak kelopongan di sana sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2024 @ 2:54 PM