MASARUDDIN (kiri) bersama ibu bapa dan adik-beradiknya.
MASARUDDIN (kiri) bersama ibu bapa dan adik-beradiknya.
Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Melaka: Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa. Itu yang dirasai pemuda ini biarpun usianya menginjak 28 tahun, namun layanan ibu bapa masih dirasai seperti zaman kanak-kanak.

Ini kerana ibunya akan memasak bekal harian sebelum dihantar kepada Masaruddin Zaini oleh bapanya di tempat kerja setiap hari.

Video Masaruddin menerima bekal air tangan ibunya, Manisah Mat, 55, yang dihantar bapa, Zaini Abdullah, 62, mendapat perhatian netizen yang menghargai usaha ibu bapanya dan menganggap ia sebagai 'sweet' kerana masih memasak serta menghantar makanan kepada anak.

Berkongsi kisah itu, Masaruddin berkata, dia yang bekerja di sebuah pusat beli-belah di Melaka tinggal bersama ibu bapanya di Duyong, di sini, dan dua 'syurganya' itu akan memasak dan turut menghantar makanan kepadanya setiap hari sejak dia mula bekerja pada 2014.

Menurutnya, dia juga selalu melarang ibu bapanya berbuat demikian kerana tidak mahu menyusahkan mereka selain boleh membeli makanan di luar, namun dua insan tersayang itu tetap mahu melakukannya dengan rela hati.

"Setiap hari ibu akan masak dan ayah pula akan hantar kepada saya kecuali hari cuti saja. Ibu akan memasak lauk berbeza dan saya perlu bawa bekal kalau tidak, ibu bising sebab bazir duit (beli makan) dan tak makan masakan dia.

"Apabila ibu sudah siap masak, ayah akan terus hantar bekal sebab mereka nak bagi masakan panas pada saya dan kadang-kadang nasi masih 'berasap' (panas) lagi masa saya makan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, ibu bapanya memberi layanan sama rata kepada semua anak-anak dan dia mengakui tidak pernah jemu makan bekal masakan ibunya setiap hari.

Menurutnya, walaupun lauk dimasak ringkas seperti telur goreng dan kicap, namun amat sedap buat dirinya.

"Saya bersyukur dan gembira dengan layanan terbaik ibu dan ayah. Kalau saya demam, mereka akan teman pergi hospital sehingga selesai urusan walaupun diminta balik berehat, tetapi mereka tetap mahu teman.

"Bagi saya kasih sayang seorang ibu serta ayah tidak akan kurang sehingga akhir hayat dan kalau boleh biarlah Allah SWT ambil saya dulu, baru ambil mereka sebab saya tak mampu hidup tanpa mereka," katanya.

Berhubung video yang dikongsinya, Masaruddin berkata, dia tidak menyangka akan mendapat perhatian dan perkongsian itu untuk memberi mesej positif kepada orang ramai yang membawa bekal makanan.

"Membawa bekal (makanan) ini sangat menjimatkan masa (membeli makan) dan wang selain tidak perlu malu bawa bekal. Komen juga semua positif, cuma saya sedih untuk yang tiada ibu dan bapa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2024 @ 7:02 AM