SEORANG wanita mendakwa menjadi mangsa intip menggunakan kamera tersembunyi dalam bilik air di sebuah inap desa di Jelutong. FOTO tular
SEORANG wanita mendakwa menjadi mangsa intip menggunakan kamera tersembunyi dalam bilik air di sebuah inap desa di Jelutong. FOTO tular
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Polis menyiasat dakwaan seorang wanita menjadi mangsa intip menggunakan kamera tersembunyi dalam bilik air di sebuah inap desa di Jelutong, di sini, yang tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, pihaknya menyiasat kes itu daripada pelbagai sudut mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana perbuatan mengaibkan kehormatan seseorang.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati wanita berusia 24 tahun itu mendaftar masuk ke inap desa terbabit bersama tiga rakannya pada 5 Februari lalu untuk bercuti.

"Pengadu terjumpa sebuah kamera tersembunyi dalam bekas pewangi tandas di bilik air kira-kira jam 8 malam pada 6 Februari dan terus mengeluarkan kamera itu.

"Pengadu kemudiannya membuat aduan kepada pihak pengurusan inap desa seterusnya membuat laporan di Balai Polis Jelutong," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Razlam berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati tiada imej atau video terkandung dalam storan kamera terbabit.

Sehubungan itu, pihaknya menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes itu sehingga boleh menjejaskan siasatan polis.

Kelmarin, seorang wanita menerusi satu hantaran di laman X menyifatkan percutiannya tidak ubah seperti mimpi ngeri apabila menemukan sebuah kamera intip disembunyikan dalam bekas pewangi tandas ketika sedang mandi di sebuah inap desa di Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2024 @ 1:58 PM