PELANGGAN kini boleh meletakkan dan mengambil bungkusan mereka di 86 Ninja Box di 115 stesen pengangkutan awam milik Prasarana. FOTO Owee Ah Chun
PELANGGAN kini boleh meletakkan dan mengambil bungkusan mereka di 86 Ninja Box di 115 stesen pengangkutan awam milik Prasarana. FOTO Owee Ah Chun
Mohd Zaky Zainuddin


Kuala Lumpur: Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) bekerjasama dengan syarikat logistik, Ninja Van Malaysia bagi menempatkan 86 loker bungkusan dikenali Ninja Box di 115 stesen pengangkutan awam milik Prasarana dari Gombak hingga Puchong, Selangor.

Ketua Pegawai Operasi Strategi dan Transformasi Prasarana, Ang Yoke Kee berkata, kerjasama ini adalah langkah proaktif syarikat penyedia pengangkutan awam itu mentransformasikan stesen Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), Monorel dan Bas Rapid Transit (BRT) sebagai pusat transit bersepadu bagi kemudahan pengguna.

“Ia langkah kami bagi menyediakan perkhidmatan bersepadu kepada pengguna kemudahan awam. Kita memiliki ruang di setiap stesen dan ia akan diisi dengan pelbagai perkhidmatan bagi meningkat kemudahan dan keselesaan pelanggan.

“Kami memiliki 155 stesen di laluan sepanjang 151 kilometer di mana ia menyediakan kedudukan kukuh kepada kami untuk bekerjasama dengan syarikat berkaitan dalam menyediakan mobiliti dan keterhubungan kepada semua,” katanya pada sidang media pelancaran Ninja Box di Stesen LRT KL Sentral di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Negara Ninja Van Malaysia, Adzim Halim.

Sementara itu, Adzim berkata, sebanyak 17 Ninja Box ditempatkan di stesen LRT, MRT, Monorel dan BRT, manakala baki 69 lagi dijangka siap dipasang menjelang suku ketiga tahun ini.

“Dengan pertumbuhan positif platform e-dagang di negara ini, ia akan meningkatkan penghantaran bungkusan kepada pelanggan yang boleh dimanfaatkan perkhidmatan yang ditawarkan menerusi Ninja Box.

“Penempatan Ninja Box di stesen pengangkutan awam ini adalah inisiatif kami mengurangkan keciciran penghantaran daripada 550 pusat pungutan dan penyerahan sedia ada.

“Dengan perkhidmatan alternatif ini, ia memudahkan pelanggan menggunakan platform e-dagang untuk berbelanja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 9:00 AM