PETANI yang juga ahli KATAM menunjukkan hasil cili jenis Sakata 461 yang ditanam. Hadir sama, Pegawai Pertanian Daerah Kuala Kangsar, Muhammad Nazri Hassan (tiga dari kanan). FOTO Muhamad Lokman Khairi
PETANI yang juga ahli KATAM menunjukkan hasil cili jenis Sakata 461 yang ditanam. Hadir sama, Pegawai Pertanian Daerah Kuala Kangsar, Muhammad Nazri Hassan (tiga dari kanan). FOTO Muhamad Lokman Khairi
Muhamad Lokman Khairi


Kuala Kangsar: Bermula daripada hasrat beberapa petani kecil dalam kawasan Manong di sini berkumpul untuk berkongsi ilmu dan pengalaman, Koperasi Agro Ternak Melayu Perak Berhad (KATAM) kini mampu menuai hasil lumayan dengan pelaksanaan pelbagai projek tanaman berasaskan teknologi pertanian moden.

Pengerusinya, Mohd Helmi Muhammad Rodzi, 43, berkata, koperasi yang ditubuh pada 2020 itu, kini memiliki 18 ahli berusia 24 hingga 47 tahun dengan majoritinya berkepakaran dalam mengusahakan tanaman cili fertigasi jenis Sakata 461.

Menurutnya, terdapat 42,000 poli beg yang dipecahkan di lapan lot tanah di sekitar Manong dengan keluasan keseluruhan 6.7 hektar bersamaan 15 ekar.

"Kami sudah sediakan perancangan jadual tanaman mengikut musim bagi setiap plot, kaedah ini menjamin pengeluaran cili yang berterusan dan tidak terhenti.

"Hasilnya, setiap minggu kami boleh mengumpulkan sejumlah 800 ke 900 kilogram (kg) atau hampir empat tan dalam tempoh sebulan, lalu dijual ke pasar borong dan peruncit di Ipoh," katanya memaklumkan harga pasaran cili masih bertahan RM6 ke atas bagi sekilogram.

MOHD Helmi menjelaskan koperasi yang ditubuh pada 2020 itu kini memiliki 18 ahli berusia 24 hingga 47 tahun dengan majoritinya berkepakaran dalam mengusahakan tanaman cili fertigasi jenis Sakata 461.
MOHD Helmi menjelaskan koperasi yang ditubuh pada 2020 itu kini memiliki 18 ahli berusia 24 hingga 47 tahun dengan majoritinya berkepakaran dalam mengusahakan tanaman cili fertigasi jenis Sakata 461.

Selain itu, Mohd Helmi berkata, KATAM turut mengusahakan tanaman lain seperti labu air dengan pengeluaran hasil kira-kira 4.5 tan seminggu, juga labu manis dan timun yang masing-masing mampu mencapai pengeluaran satu tan setiap minggu.

Tambahnya lagi, mereka kini giat meneroka perusahaan tanaman seperti halia, jagung dan kobis.

"Kita melantik ahli untuk memajukan projek ini dalam satu kawasan. Sekiranya berlaku situasi contohnya petani kita gagal untuk meneruskan satu projek, pihak koperasi masih dapat menampung semula kos (menggunakan hasil projek yang berjaya) dan meneruskan projek (yang gagal) itu.

"Dalam proses pembangunan koperasi sekarang, kita nampak ada satu kelebihan kami selaku petani duduk di bawah satu komuniti.

"Sebelum ni kami menjalankan pertanian sendiri, apabila kita tubuh KATAM ia menjadi platform penghubung antara petani dengan jabatan dan agensi kerajaan," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Helmi berkata, pencapaian itu mampu direalisasikan berkat usaha gigih semua ahli serta bantuan daripada Jabatan Pertanian Perak, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC).

"Selain bantuan berbentuk input pertanian seperi baja dan racun, jabatan serta agensi ini turut menyalurkan bantuan mesin bagi mencuci kawasan, khidmat nasihat serta bantuan dari segi pemasaran hasil tanaman, sekali gus meningkat pendapatan petani seperti kami.

"Malah, kami juga dibekalkan dengan teknologi Internet Kebendaan (IoT) yang berasaskan sistem smart farming, iaitu penggunaan aplikasi dalam telefon lintar untuk kita mengawal aktiviti pembajaan dan meracun mengikut isipadu tepat, tanpa perlu ke kebun," katanya.

Mohd Helmi berkata, berkata, itu membuktikan komitmen mereka selaku peneraju flagship Lembah Bakul Makanan (Keterjaminan Makanan) seperti digariskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan idea Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2024 @ 6:31 AM