ABDUL Hadi. FOTO Arkib NSTP
ABDUL Hadi. FOTO Arkib NSTP
Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Keuzuran Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang punca parti gabungan Pakatan Harapan (PH) mengambil kesempatan untuk memporak-perandakan pimpinan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata, tindakan itu membuktikan kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bimbang kepada PN.

"Kita akui kelibat Abdul Hadi kurang dipaparkan melalui media massa tetapi tidak bermakna berlaku perpecahan gabungan antara Pas dan Bersatu seperti didakwa PH.

"Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang kerap menghadiri mesyuarat termasuk mengadakan perjumpaan dengan pimpinan tertinggi Bersatu tetapi kelibatnya kurang didedahkan.

"Kita tegaskan, tiada perpecahan kepimpinan antara Pas dan Bersatu, hubungan antara pimpinan tertinggi PN masih utuh," katanya di sini, hari ini.

Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri berkata, tindakan pimpinan PH yang cuba memporak-perandakan PN membuktikan mereka takut kepada PN.

"Tiada keretakan hubungan antara Abdul Hadi dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, dua pemimpin itu sering berhubungan," katanya.

Ketika mengulas cadangan Umno mengumpul sejuta tandatangan bagi petisyen untuk mendapatkan pengampunan penuh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Razali berkata, pengumpulan tandatangan itu hanya bertujuan menguji kekuatan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, pengumpulan sejuta tandatangan tidak akan mengubah keputusan Lembaga Pengampunan.

"Kita cadangkan lebih baik Umno menganjurkan pengumpulan sejuta tandatangan menarik diri daripada terus berada di bawah gabungan PH," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 1:46 PM