Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Ruslin Jusoh bercakap pada sidang media di luar pekarangan Depot Tahanan Imigresen Sementara Bidor hari ini. FOTO BERNAMA
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Ruslin Jusoh bercakap pada sidang media di luar pekarangan Depot Tahanan Imigresen Sementara Bidor hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Tapah: Jabatan Imigresen Malaysia memindahkan baki 100 tahanan wanita yang masih berada di Depot Tahanan Sementaranya di Bidor malam ini ke beberapa lokasi lain bagi mengosongkan premis itu.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata tahanan wanita terbabit ditempatkan antaranya di Depot Bukit Jalil di Kuala Lumpur, Lenggeng di Negeri Sembilan dan Kemayan di Pahang.

Beliau berkata depot di Bidor dikosongkan sementara sehingga siasatan kes tahanan merusuh dan lolos baru-baru ini selesai.

Ruslin juga berkata radius pencarian tahanan yang masih lolos telah diperluas kepada lima kilometer dari depot itu.

"Kita juga yakin tahanan masih berada tidak jauh dari kawasan depot, pergerakan mereka juga terbatas dan apabila masuk hari kedua, mereka akan mula berasa lapar, kita harap operasi esok akan lebih mudah," katanya.

Malam tadi, sejumlah 131 pendatang tanpa izin telah melarikan diri dari blok lelaki depot tahanan itu dan seorang daripada mereka dilaporkan meninggal dunia apabila terlibat dalam nahas jalan raya.

Daripada jumlah tahanan yang melarikan diri itu, 115 ialah etnik Rohingya, 15 warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2024 @ 12:03 AM