GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Lydia Saiful


Kuala Lumpur: Kerajaan digesa meneliti semula arahan penggantungan sementara dan semakan semula terhadap premis pengusaha serta kedai urut termasuk urut tradisional mahupun refleksiologi.

Ini berikutan Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) yang menaungi 7,000 orang termasuk orang kurang upaya (OKU) penglihatan bergantung kepada pekerjaan berkenaan sebagai mata pencarian.

Dalam kenyataan bersama, Pengerusi Jawatankuasa Utama Pekerjaan dan Pembangunan Ekonomi SBM Dr Wong Huey Siew dan Presiden SBM Mohammed Nazari Othman berkata, urutan tradisional dan refleksiologi adalah salah satu bidang pekerjaan diceburi oleh jururut OKU Penglihatan.

Menurutnya, pihaknya menyambut baik berkaitan peraturan operasi itu, namun arahan penggantungan sementara perlu dipertimbangkan semula.

"Kami faham ia adalah inisiatif bagi pelesenan tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Tetapi, SBM berharap sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat, pihak kerajaan perlu memanggil libat urus semua pemegang taruh termasuk wakil daripada OKU penglihatan supaya suara dan pandangan SBM juga diambil kira," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, pihaknya berharap keputusan dibuat kelak tidak akan menjejaskan rezeki jururut OKU Penglihatan.

"Perkara ini disebabkan, sebilangan besar individu OKU penglihatan bergantung kepada pekerjaan ini sebagai pendapatan bagi mengekalkan sara hidup mereka.

"Dan SBM turut menghargai sekiranya pihak kerajaan menyokong golongan OKU penglihatan dalam mengangkat martabat urut dan refleksiologi.

"Selagi ia mematuhi etika dan peraturan, jadi tiada masalah serta tidak sepatutnya dipandang secara negatif," katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata bersedia membekukan permohonan lesen perniagaan spa, refleksologi dan urut, jika ada keperluan berbuat demikian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2024 @ 5:40 PM