Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Zamri Abdul Aziz (tengah) mengiringi pelajar mengaminkan doa sebelum memasuki Dewan peperiksaan bertulis Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2023 ketika meninjau di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Ahmad Maher hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Zamri Abdul Aziz (tengah) mengiringi pelajar mengaminkan doa sebelum memasuki Dewan peperiksaan bertulis Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2023 ketika meninjau di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Ahmad Maher hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Pengorbanan seorang guru Bahasa Melayu yang sudah bersara pada Mei tahun lalu menjadi pembakar semangat kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Ahmad Maher.

Mohamad Iman Afiq Mohd Ismail, 18, berkata, dia terharu dengan pengorbanan guru berkenaan, Faridah Mamat, 59, yang sanggup mengadakan kelas tambahan selepas waktu persekolahan untuk membantunya serta rakan-rakan yang lain.

Katanya, walaupun dia tidak mendapat keputusan A+ dalam ujian percubaan yang lalu, namun dia yakin memperoleh keputusan cemerlang dalam mata pelajaran berkenaan.

"Saya berterima kasih kepada Cikgu Faridah kerana sanggup meluangkan masanya untuk bersama kami meskipun sudah bersara. Insya-Allah saya akan melakukan yang terbaik demi membalas jasa Cikgu Faridah dan juga guru-guru yang lain.

"Selepas beberapa bulan berhempas pulas melakukan ulang kaji bagi persediaan peperiksaan SPM, saya bertawakal kepada Allah SWT dan akan melakukan yang terbaik," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Datuk Mohd Zamri Abdul Aziz mengadakan tinjauan peperiksaan SPM 2023 di sekolah berkenaan.

Sementara itu, seorang lagi calon, Wan Muhammad Adam Haiqal Wan Azman, 18, berkata, dia mengulang kaji pelajaran di antara empat hingga enam jam sehari selepas waktu persekolahan.

"Selain kelas tambahan yang diadakan oleh guru-guru di sekolah, ibu bapa saya juga mengupah guru persendirian untuk belajar di rumah.

"Saya berharap dengan usaha yang dilakukan ini membolehkan saya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM dan sekaligus dapat membanggakan ibu dan ayah yang sudah banyak berkorban selama ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2024 @ 7:36 PM