MOHD Zaini (dua kiri) memberi semangat kepada calon SPM di SMK Bandaraya, Kota Kinabalu. FOTO Izwan Abdullah
MOHD Zaini (dua kiri) memberi semangat kepada calon SPM di SMK Bandaraya, Kota Kinabalu. FOTO Izwan Abdullah
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah mengaktifkan jawatankuasa pengurusan bencana menerusi semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana alam yang boleh menjejaskan kehadiran calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini.

Timbalan Pengarah (Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah) Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Mohd Zaini Yanin, berkata pihaknya turut mengingatkan semua calon peperiksaan supaya segera menghubungi sekolah jika berlaku bencana di kawasan mereka.

Katanya, jawatankuasa pengurusan bencana akan bertindak segera jika ada insiden seperti banjir yang membabitkan calon peperiksaan di negeri ini.

"Bagaimanapun, setakat hari ini, peperiksaan di negeri ini berjalan dengan lancar dan kita mengharapkan proses peperiksaan ini dapat dijalankan dengan teratur.

"Di peringkat negeri, kita bersama PPD sudah mengaktifkan jawatankuasa pengurusan bencana khususnya bagi menghadapi keadaan cuaca yang tidak menentu seperti banjir.

"Kita akan berusaha untuk memastikan setiap calon dapat menduduki peperiksaan sehingga 7 Mac depan," katanya ditemui selepas meninjau pelaksanaan hari pertama peperiksaan bertulis SPM 2023 peringkat negeri Sabah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandaraya, di sini, hari ini.

Mohd Zaini berkata, Jabatan Pendidikan bekerjasama dengan semua agensi berkaitan, khususnya Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi memastikan calon SPM di negeri ini dapat hadir walaupun berdepan banjir dan bencana lain.

Zaini berkata, seramai 38,778 calon SPM 2023 didaftarkan di Sabah membabitkan sebanyak 315 pusat peperiksaan dan seramai 2,448 orang petugas peperiksaan.

"Jabatan Pendidikan Negeri Sabah akan melakukan yang terbaik bagi memastikan peperiksaan SPM 2023 dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.

"Kita juga mendoakan agar semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan sihat, selamat dan sejahtera," katanya.

Pada 15 Januari lalu, lebih 200 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas beberapa kampung di Sandakan, Beluran dan daerah kecil Paitan dilaporkan mengalami banjir disebabkan hujan berterusan di kawasan terbabit sejak awal bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2024 @ 11:28 AM