Oleh Omar Ahmad


Kulai: Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) merekodkan kes jenayah dalam talian mencatatkan RM1.34 billion kerugian bagi tempoh 1 Januari sehingga 8 Disember tahun lalu.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, statistik itu menunjukkan peningkatan sembilan peratus berbanding RM804 juta kerugian yang direkodkan dalam tempoh sama pada 2022.

Katanya, jenayah e-dagang merekodkan kes tertinggi iaitu 11,173 kes dengan jumlah kerugian RM383.3 juta, berbanding 8,799 kes dengan nilai kerugian RM130 juta pada 2022.

"Diikuti Jenayah telekomunikasi membabitkan 9,830 kes (nilai kerugian RM334.8 juta) berbanding 7,303 kes (nilai kerugian RM303.6 juta) pada 2022.

"Bagi jenayah membabitkan pelaburan tidak wujud pula 5,178 kes (nilai kerugian RM 437.3 juta) berbanding 3,153 kes (nilai kerugian RM209.5 juta). Manakala bagi jenayah pinjaman tidak wujud mencatatkan 4,113 kes (nilai kerugian RM39.13 juta) berbanding 3,031 kes (nilai kerugian RM35.76 juta) dalam tempoh sama tahun 2022.

"Jenayah e-kewangan membabitkan kes sebanyak 2,041 dengan nilai kerugian RM104.2 juta berbanding 1,148 kes (RM71.67 juta) pada tahun sebelumnya," katanya pada sidang media selepas Program SWM Misi Sampul Merah di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Desa Kulai di sini, hari ini.

Menurut Nie Ching, jumlah kerugian jenayah dalam talian ini mungkin lebih banyak dan percaya polis mempunyai angka lebih lengkap kerana mungkin ada dalam kalangan mangsa yang tidak menghubungi NSRC tetapi membuat laporan polis.

"Tidak boleh dinafikan bahawa masih ramai yang menjadi mangsa untuk pelaburan tidak wujud. Sangat penting kita semak dengan pihak berkuasa sama ada pelaburan itu diluluskan atau tidak.

"Jangan mudah percaya penipuan pelaburan yang menjanjikan pulangan lebih daripada 20 peratus," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2024 @ 5:43 PM